HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Jun 2019

Ramkarpal: Kanak-kanak juga harus diberi hak bersuara

MALAYSIAKINI

   
Kanak-kanak harus diberi hak kebebasan bersuara menerusi perhimpunan aman di bawah Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Ramkarpal berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching yang mengesahkan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap 11 pelajar SJK (T) Sungai Ara di Pulau Pinang yang menyertai satu perhimpunan kesedaran iklim.

"Kanak-kanak tidak sepatutnya dihalang daripada menyatakan pandangan mereka mengenai isu yang sah, walaupun pandangan mereka akan dilihat mengkritik kerajaan hari ini.

"Saya sedar bahawa Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 melarang peserta berusia bawah 15 tahun dalam perhimpunan aman selain daripada beberapa kategori yang dinyatakan dalam Jadual Kedua akta tersebut.

"Namun, saya fikir larangan tersebut tidak berperlembagaan, kerana ia jelas bertentangan dengan hak kebebasan bersuara dan hak berhimpun yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, di mana kebebasan adalah kepada semua tanpa mengira umur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, meskipun kebebasan itu bukan secara mutlak, melarang kanak-kanak untuk bebas menyatakan pandangan mereka adalah bertentangan dengan hak kesamarataan di bawah perlembagaan.

Katanya, beliau bersetuju dengan pengerusi Voice of the Children (VOC) Sharmila Sekaran bahawa kanak-kanak tidak sepatutnya dilarang untuk menyatakan pandangan mereka dengan aman dan dalam perhimpunan awam.

"Campur tangan kerajaan dalam perkara ini hanya akan menimbulkan ketakutan kepada kanak-kanak yang boleh membawa mereka untuk menyatakan pandangan mereka dengan cara lain yang tidak sihat.

"Kita perlu berkomunikasi dengan kanak-kanak dan secara rasional memujuk mereka untuk menerima pandangan kita mengenai isu-isu selepas perbahasan yang bermakna, bukan dengan menimbulkan rasa takut kepada mereka supaya mereka disiasat kerana menyatakan pandangan mereka," katanya.

Ramkarpal juga berharap SJK (T) Sungai Ara, yang aktif dalam meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu alam sekitar, tidak akan terjejas dengan insiden perkara itu.

Beliau juga mengatakan bahawa tidak ada bukti bahawa 11 kanak-kanak berkenaan dieksploitasi oleh pihak ketiga.

Eksploitasi dan kebebasan bersuara kanak-kanak adalah berbeza, tambahnya.

Tiada ulasan: