HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Jun 2019

'Terima kasih bantu arwah mama'

Nurul Fatihah Sulaini
 
 
 

“ALHAMDULILLAH... syukur dana untuk membawa pulang jenazah mama ke Malaysia sudah cukup dan kami amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk kerajaan negeri yang sudi membantu,” kata Zarina Abdul Ghani, 35.

Sejak semalam, viral di laman sosial Facebook keluarga Zarina memohon bantuan dana daripada rakyat Malaysia untuk membawa pulang jenazah ibu mereka, Siti Patimah Mohamad Nor, 65, yang meninggal dunia di Australia 2.50 petang kelmarin (5.50 petang waktu Malaysia).

Zarina berkata, mereka sekeluarga mahu membawa pulang jenazah ibu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Baru Kuala Besut di Jertih, sebagaimana permintaan Allahyarham sebelum meninggal dunia.

“Sebelum meninggal mama ada pesan jika terjadi apa-apa kepadanya, dia mahu jasadnya dibawa pulang ke kampung dan dikebumikan di sini (Kuala Besut),” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Tok Sabah, Kuala Besut, hari ini.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, Allahyarham ibunya ke Australia pada Oktober tahun lalu untuk melawat abang serta ahli keluarga yang menetap di sana sejak lima tahun lalu.

“Abang sulung kami membuka perniagaan makanan secara kecil-kecilan di Melbourne dibantu lagi dua adik-beradik, manakala seorang adik akan melanjutkan pengajian di kolej tempatan di sana.

“Jika diikutkan, mama mahu pulang lebih awal sebelum puasa dan mahu solat sunat Aidilfitri di masjid kampung ini.

“Bagaimanapun hasrat itu tertangguh kerana ada keluarga pergi ke sana bulan lalu untuk menyambut Hari Raya dan merancang pulang semula ke Malaysia bersama,” katanya.

Zarina berkata, ibunya tidak mempunyai masalah kesihatan serius, namun ada mengadu rasa sejuk luar biasa dan masuk ke bilik untuk solat Asar sebelum ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia.

“Ibu tidak ada sebarang masalah kesihatan yang serius, cuma ada sedikit darah tinggi dan kematian mama dipercayai kerana serangan jantung secara mengejut,” katanya.

Katanya, jasad ibunya disimpan sementara di The Coroners Court of Victoria, Melbourne sebelum dipindahkan ke Sydney dan dijangka dihantar pulang ke Malaysia pada Rabu depan.

Beliau berkata, keluarganya terpaksa memohon bantuan orang ramai di Facebook untuk mengumpul wang bagi membawa pulang jenazah Siti Patimah, berikutan tidak mampu menampung kos yang mencecah AUD10,000 (RM31,000).

“Jika kami memilih untuk menguruskan pengebumian di sana, kosnya tetap tinggi sekitar AUD8,000 dan kami hanya ada lebih kurang AUD2,500 daripada keluarga sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang mengunjungi keluarga itu berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan kecemasan RM10,000 untuk membawa pulang jenazah Siti Patimah.

“Alhamdulillah, sebentar tadi saya mewakili Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga ini bagi membawa pulang jenazah ibu mereka ke tanah air,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Putera.

Tiada ulasan: