HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Julai 2019

Henti sebar video buli pelajar

fazleen safina

 

Komen kandungan tidak sahih boleh ganggu keharmonian rakyat

BANGI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman video seorang pelajar dibuli sekumpulan pelajar lain yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM berkata, penyebaran video terbabit berpotensi untuk menyemarakkan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat.

Justeru, suruhanjaya itu meminta orang ramai untuk segera melaporkan kewujudan rakaman video itu kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

“Perkongsian kandungan yang bersifat jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

“MCMC sedang berurusan dengan pihak penyedia platform media sosial untuk menurunkan rakaman video berkenaan daripada terus tular,” katanya.

Pada masa sama, SKMM turut menggesa orang ramai supaya bertanggungjawab dalam menyebarkan atau memberi komen terhadap mana-mana kandungan di laman sosial, sama ada berupa video, gambar atau tulisan.

“Penyebaran atau sikap memberi komen ke atas kandungan yang tidak sahih bukan sahaja boleh mewujudkan kekeliruan awam, tetapi juga dikhuatiri menganggu-gugat keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.


Tiada ulasan: