Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 12 Julai ini untuk
mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
supaya membatalkan saman pemula bekas ketua pengarah Organisasi
Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid yang difailkan pada
28 Mac lalu bagi mencabar tindakan SPRM membekukan akaun banknya sejak
September tahun lepas.
Pendengaran yang dijadual berlangsung pada hari ini telah ditangguhkan setelah mahkamah mendengar permohonan peguam Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah bagi meminda perkataan dalam afidavit Hasanah.
Shaharudin membuat permohonan lisan kepada hakim Mohd Sofian untuk membuang perkataan "tidak" dalam frasa "harta tidak alih" (immovable property) dan menukar ayat asal afidavit kepada "harta alih" (movable property).
Pendakwaan membantah permohonan Shaharuddin berhujah pindaan berkenaan hanya "sesuatu yang difikirkan kemudian" (after thought) apabila kedua pihak memfailkan afidavit masing-masing dan peguam Hasanah itu cuma memberikan afidavit yang mengandungi pembetulan pagi ini.

"Ia cuma pembetulan. Jadi apakah 'sesuatu yang difikirkan kemudian' yang kita hujahkan di sini?" Katanya.
Selepas mendengar penghujahan daripada kedua belah pihak, hakim Mohd Sofian membenarkan permohonan peguam Hasanah selepas memutuskan bahawa tiada prejudis dengan memadamkan perkataan berkenaa serta dapat menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Dapati akaun dibekukan
Dalam saman pemula yang difailkan terhadap SPRM, Hasanah, 61, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 September 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.
Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 37 membenarkan pendakwaraya awam untuk mengarahkan bank membekukan sebarang akaun berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya.
Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SPRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018.
Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, beliau hanya tahu akaunnya dibekukan apabila mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).
Bercakap kepada pemberita hari ini, Shaharudin menegaskan akaun yang dibekukan itu menyimpan wang pencen Hasanah dan tiada kaitan dengan 1MDB atau punca haram.
"Ini kali pertama Seksyen 37 (Akta SPRM) dicabar di mahkamah memandangkan ia melanggar perlembagaan.
"SPRM tidk pernah berkata wang itu haram, dicuri atau berkait dengan 1MDB. Wang yang dibekukan (dalam akaun) itu merupakan duit pencen beliau," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan