Syarikat itu pegang peratusan saham minimum, labur, lepas aset lain

KUALA LUMPUR
– Khazanah Nasional Bhd meluaskan pendedahannya di Amerika Syarikat
(AS), dengan mengenal pasti pelaburan dalam sebahagian besar firma
teknologi yang menggunakan analitis data.
Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua
Pelaburannya, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkata, pada masa ini,
pendedahan di negara ini masih agak kecil, dan oleh itu dana kekayaan
negara itu sedang mengenal pasti teknologi yang berpotensi untuk dibawa
balik dan digunakan di Malaysia.
“Kami mempunyai pelaburan dalam syarikat
yang sebenarnya pakar dalam analitisis data, namun apa yang kami ketahui
di AS, terutama syarikat biasa sekali pun, menggunakan analitisi data
ini dalam membuat keputusan harian mereka.
“Oleh itu, saya jangkakan ia semakin
berkembang dan banyak syarikat besar sudah melakukannya,” katanya kepada
pemberita di luar persidangan Kerja Masa Hadapan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Khazanah juga akan terus melabur secara aktif di Malaysia, negara-negara Asia Tenggara, serta China dan India.
Mengenai pegangan Khazanah dalam aset
strategik, Tengku Azmir berkata: “Kami pasti akan memegang peratusan
minimum dalam tempoh tertentu, namun untuk aset lain, kami akan melabur
dan melepaskan.
“Kami mempunyai mandat baharu sejak
beberapa bulan, yang kini berjalan lancar dari segi pelaksanaannya, yang
melibatkan usaha mengimbangi sebahagian portfolio kami hari ini, dan
juga mengurangkan sebahagian daripada hutang kami,” katanya.
Khazanah pada Mac mengumumkan bahawa ia
akan memecah portfolionya, dengan aset komersil yang membentuk 70
peratus, selain mahu melepaskan beberapa atau kepentingan penuh dalam
syarikat pada masa dan harga yang tepat.
Baki 30 peratus aset terdiri daripada
aset strategik seperti Malaysia Airlines Bhd (MAS), Tenaga Nasional Bhd
dan Telekom Malaysia Bhd.
Namun, Tengku Azmir enggan mengulas mengenai nasib MAS.
Baru-baru ini, pengasas bersama AirAsia
Group Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab menyatakan minat untuk memulihkan
syarikat penerbangan negara yang sakit itu. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan