HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Julai 2019

Musim rezeki buat penuntut universiti

Yusri Abdul Malek
 
 

KEDATANGAN jemaah umrah dan haji setiap tahun memberi rezeki kepada pelajar Malaysia dari Universiti Islam Madinah, di sini, menjadi penunjuk ajar atau mursyid kepada jemaah ketika mengadakan ziarah luar.

Dianggarkan terdapat kira-kira 300 pelajar yang sedang menjalani pengajian di universiti itu dalam pelbagai bidang dan dibiayai penuh melalui biasiswa kerajaan Arab Saudi.

Malah, ada dalam kalangan pelajar berkenaan yang bijak membahagikan masa untuk belajar dan menjadi mursyid mampu menjana pendapatan tetap setiap bulan dan boleh menghantar pula wang itu untuk perbelanjaan keluarga di tanah air.

Bagi pelajar tahun akhir Jurusan Kaunseling, Kashfull Azim Shaharuddin, 24, walaupun menjadi mursyid jemaah hampir setiap minggu tetapi ia tidak mengganggu langsung pembelajarannya.

Katanya, dia akan memilih jadual tutorial atau kuliah pada sebelah petang atau malam bagi membolehkannya menjadi mursyid pada sebelah pagi.

“Kedatangan jemaah Malaysia memberi rezeki kepada saya dan rakan lain bekerja sambilan.

“Setiap pelajar menerima bantuan sara hidup sebanyak RM900 sebulan oleh kerajaan Arab Saudi dan ia sudah mencukupi.

“Tetapi dengan adanya program umrah dan ziarah ini, ia memberi peluang kepada kami mencari wang poket lebih,” katanya ketika ditemui di Masjid Quba, Madinah, kelmarin.

Anak sulung daripada lima beradik itu juga mampu menghantar wang kepada keluarganya di Kuala Lumpur sebagai tanggungjawab sebagai anak.

“Ayah saya sudah pencen...jadi saya ada wang sikit, saya pula bantu mereka,” katanya.

Rakannya, Ali Abdul Rahman Rasle, 26, yang berasal dari Sarawak berkata, dia sekali sekala menjadi mursyid jika ada peluang daripada Tabung Haji atau syarikat umrah.

“Ada kerja ditawarkan ini, dapatlah tambah duit poket,” katanya yang kini sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Beliau berkata, perbelanjaan pengajian di universiti ditanggung sepenuhnya kerajaan Arab Saudi dan wang hasil kerja sebagai mursyid dijadikan wang saku tambahan.

“Kerja sebagai mursyid membantu dari segi pengalaman selepas tamat pengajian kelak,” katanya.

Tiada ulasan: