
Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan Felda itu dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP), yang dilancarkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
PPP yang merangkumi aktiviti berasaskan program tanaman dan selingan yang mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat dan aliran tunai konsisten dilancarkan pada sambutan Hari Peneroka peringkat kebangsaan 2019 di sini, hari ini.
Azmin berkata, Felda di bawah kepimpinan pengasasnya Abdul Razak Hussein, yang juga perdana menteri ke-2 berjaya membantu mengurangkan jurang ekonomi Melayu dan Bumiputera menerusi pembukaan tanah kerajaan, yang pada suatu ketika membolehkan negara menyumbang 25% kepada pengeluaran kelapa sawit dunia.
“Malangnya sejak beberapa tahun lalu, kita menyaksikan kerakusan pimpinan atasan Felda yang terdiri daripada orang politik yang terlalu banyak bermain politik sehingga peneroka menjadi mangsa dan dibebankan dengan masalah besar,” katanya semasa berucap di hadapan ribuan peneroka pada sambutan itu.
Azmin berkata belajar daripada kesilapan itu, kerajaan PH berjanji untuk memastikan pengurusan agensi itu hanya ditadbir oleh mereka berintegriti dan berwibawa.
Katanya, pelantikan Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi Felda, berkuatkuasa 1 Julai, dilihat berkemampuan untuk membawa agensi itu ke peringkat baru dengan bantuan dan sokongan akar umbi peneroka.
Selain itu beliau berkata, kerajaan amat maklum dengan permasalahan peneroka, seperti bebanan hutang yang cukup tinggi dan masalah perumahan generasi kedua yang banyak terbengkalai.
Berhubung masalah perumahan terbengkalai, Azmin berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM250 juta bagi menyiapkan projek berkenaan, khususnya yang tahap kemajuan pembinaannya sudah mencapai 70%, pada tahun ini.
Katanya, 1,400 unit rumah generasi ke-2 sudah memperoleh sijil layak menduduki dan dijangka diserahkan kepada pemiliknya dalam masa terdekat.
Azmin berkata, kerajaan menampung RM2 bilion untuk menghapuskan hutang peneroka dan walaupun jumlah itu besar, kerajaan menyifatkan “tidak mengapa” asalkan hutang dapat dikurangkan demi membolehkan peneroka hidup dengan lebih selesa.
Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju supaya Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta dipecahkan bermula tahun depan kepada johan, naib johan dan tempat ke-3 berbanding hanya satu pemenang sebelum ini.
“Saya percaya program AKKF dapat memupuk rasa muhibah, perpaduan dan persaudaraan antara peneroka di setiap kampung supaya bersama-sama bergotong-royong dengan semangat ukhuwah yang baik,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan