HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Oktober 2019

Guru sekolah antara 5 individu ditahan terbabit gerakan LTTE

 
Ayob Khan berkata, lima indivdiu ditahan kerana mempunyai 
kaitan dengan LTTE dan mereka ditahan dalam dua operasi 
berasingan di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.
 
KUALA LUMPUR: Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan lima individu lagi didapati terlibat dalam aktiviti menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Beliau berkata, lima indivdiu terbabit ditahan dalam dua operasi berasingan di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, menjadikan seramai 12 orang kesemuanya telah ditahan sejak Khamis lalu.

“Tangkapan pertama merupakan seorang guru, ditangkap di Teluk Panglima Garang, Selangor. Suspek ini ditahan kerana memberi sokongan terhadap LTTE menerusi media.

“Tangkapan kedua pula adalah di Durian Tunggal, Melaka. Lelaki berusia 38 tahun yang merupakan pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka. Dia ini bertindak sebagai penganjur aktiviti dan edarkan risalah berkaitan LTTE. Tangkapan ketiga pula adalah ahli majlis Majlid Bandaraya Melaka (Bersejarah),” katanya.

Tangkapan keempat pula di Pulau Pinang membabitkan seorang individu yang bekerja sebagai pekerja kilang. Dia ditahan kerana mempromosikan LTTE manakala individu kelima berusia 29 tahun bekerja sebagai penyelia keselamatan, juga mempromosikan LTTE menerusi media.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Khamis lalu, polis mengumumkan dua Adun DAP, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan kerana dipercayai terbabit dengan LTTE.

Semua yang ditahan dikesan bukan saja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas terbabit.

Operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak.

Ayob Khas berkata, siasatan terperinci berkaitan kumpulan LTTE di negara ini mula dijalankan sejak Nov lalu dan pihaknya mempunyai asas kukuh untuk membuka kertas siasatan terhadap mereka.

LTTE adalah kumpulan diklasifikasikan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India, manakala Malaysia mula menyenaraikannya pada 2014.

Tiada ulasan: