HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Oktober 2019

Polis akan terus siasat tak kira DAP atau tidak, kata Ayob Khan

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan 
Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media 
di Bukit Aman, hari ini.
 
KUALA LUMPUR: Polis menafikan kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa pihak berkuasa itu memberi jaminan tidak ada lagi pemimpin DAP yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) akan ditahan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata beliau sendiri tidak pasti dari mana Lim mendapat maklumat berkenaan, namun menegaskan tiada sebab pihaknya menghentikan siasatan sekiranya ada pemimpin DAP dikaitkan dengan LTTE.

“Saya tidak pasti dari mana dia dapat input. Yang pastinya bukan dari saya. Saya tidak pernah keluarkan kenyataan bahawa kita akan hentikan siasatan, tidak ada sebab kita hentikan siasatan. Kenyataan itu bukan dari saya.

“Kenapa kita perlu hentikan siasatan, adakah kerana disebabkan parti DAP, kita perlu hentikan siasatan. Tidak ada. Kita akan terus menjalankan siasatan kalau ada cukup asas dan bukti,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Khamis lalu, Lim dilaporkan berkata polis memaklumkan bahawa tidak ada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan dalam operasi membanteras perkembangan gerakan LTTE di Malaysia.

Kenyataan Lim itu dibuat selepas polis menahan seorang exco kerajaan negeri Melaka, G Saminathan yang juga merupakan Adun Gadek dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.

Ayob Khan berkata, tangkapan dibuat polis bukanlah menjurus kepada segelintir pemimpin dari parti politik tertentu, khususnya DAP, tetapi menegaskan tangkapan yang dibuat adalah bersifat secara menyeluruh.

“Tangkapan ini tidak ada kaitan dengan DAP, PAS, PKR, Barisan Nasional atau sebagainya.
Tangkapan dibuat kerana mereka terlibat dengan mempromosikan keganasan. Tidak kira parti mana, saya tidak akan tolak ansur, jika cukup bukti pasti akan ditahan.”

Ayob Khan juga berkata, bukanlah satu masalah dan kesalahan sekiranya terdapat individu atau pemimpin negara ini didapati bergambar dengan penyokong LTTE, hal ini kerana siasatan polis lebih menjurus kepada penglibatan bukannya sekadar bergambar.

“Kita perlu jalankan siasatan terperinci, bukan setakat bergambar. Kalau ada asas beliau sokong dan promosi, dalam konteks keganasan,” katanya.

Ayob Khan berkata demikian ketika ditanya desakan segelintir pihak yang menggesa Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran turut ditahan kerana didakwa terlibat dengan LTTE, selepas gambarnya dengan penyokong LTTE tersebar di laman media sosial.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata tiada pengecualian kepada mana-mana individu termasuk ahli politik dan wakil rakyat jika mereka terlibat atau didapati ada kaitan dengan aktiviti keganasan.

Sehubungan itu beliau berkata, sesiapa sahaja yang disyaki atau “dihidu” terlibat dengan keganasan, akan dikenakan tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Pada masa yang sama, kata beliau polis tidak akan mengambil tindakan secara tergesa-gesa kerana terdapat beberapa proses yang perlu diteliti sebelum mana-mana tangkapan atau tindakan dikenakan.

Tiada ulasan: