Shahrul Nizam
Semenjak tahun 1970, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengangkat martabat dan maruah Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan afirmatif yang mengutamakan orang Melayu dalam sektor perniagaan dan pendidikan telah dijalankan hampir separuh abad, namun hasilnya begitu mengecewakan.
Data pemilikan ekuiti korporat ditekankan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Kongres Maruah Melayu menunjukkan kaum Bumiputera masih gagal menguasai 30% pemilikan ekuiti seperti yang disasarkan DEB. Bahkan penguasaan ekuiti oleh Bumiputera merudum dari 21.9% pada 2008 kepada 16.2% pada 2015.
Kajian Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid dan Li Yang dari Paris School of Economics menunjukkan kaum Bumiputera masih lagi ketinggalan di belakang apabila 75% Bumiputera mendominasi kelompok Bawah 50 (B50). Kajian tersebut juga mendapati hanya 33% Bumiputera berada dalam kelompok 1% teratas meskipun populasi Bumiputera di Malaysia setinggi 70% manakala 60% lagi kelompok 1% teratas dikuasai oleh mereka dari kalangan kaum Cina meskipun populasi mereka di Malaysia hanyalah 24%.
Laporan Pendapatan Isi Rumah 2016 turut menunjukkan kaum Bumiputera masih lagi ketinggalan dari segi pendapatan bulanan. Pendapatan penengah isi rumah bagi kaum Bumiputera adalah yang terendah jika dibandingkan dengan kaum Cina (RM6,528 ) dan India (RM 5,428 ) iaitu pada RM4,846.
Simpanan kaum Bumiputera juga berada di tahap amat menyedihkan. Berdasarkan penyata Laporan Amanah Saham Bumiputera pada 2018, hampir 77% penyimpan di ASB hanya mempunyai purata RM555 di dalam akaun mereka.
Setelah hampir 50 tahun Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan, kaum Bumiputera masih lagi ketinggalan dalam menikmati hasil kemajuan ekonomi negara. Di mana silapnya?
Hakikatnya, Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai niat baik untuk mengangkat kedudukan ekonomi orang Melayu telah dikhianati oleh segelintir golongan elit Melayu sendiri. Harold Crouch, Saintis Politik dari Australia dalam bukunya bertajuk The Government and Society in Malaysia ada menukilkan permasalah ini.
“Salah satu tujuan Dasar Ekonomi Baru adalah untuk mewujudkan kelas peniaga Melayu. Ahli perniagaan Melayu hampir kesemuanya yang mempunyai hubungan dengan Umno diberikan keutamaan untuk mendapatkan lesen, pinjaman dan juga kontrak.”
Perkara ini boleh dilihat melalui manfaat yang diperoleh ahli-ahli perniagaan terkemuka yang mempunyai kaitan rapat bersama menteri kerajaan pusat terutama menteri kewangan dan bendahari Umno. Mereka dianugerahkan pelbagai projek dan kontrak. Tetapi yang bermanfaat segelintir pihak.
Dalam kata lain, DEB yang sepatutnya memanfaatkan golongan Melayu bawahan telah disabotaj apabila kontrak serta segala bantuan hanya diberikan kepada kroni-kroni Umno. Laporan Wall Street Journal pada 1988 juga menyatakan presiden Umno ketika itu mengakui lebuh raya PLUS dianugerahkan kepada UEM untuk membiayai ibu pejabat Umno yang baru merujuk kepada Putra World Trade Centre.
Kelakuan sebegini telah mengakibatkan kita gagal untuk melahirkan ahli perniagaan Melayu tulen meskipun selepas 50 tahun DEB dilaksanakan. Ahli perniagaan Melayu lebih gemar menghimpit ahli politik demi mendapatkan kontrak kerajaan berbanding membangunkan perniagaan mereka sendiri.
Bagaimanapun, permasalahan ini bukan hanya melibatkan ahli perniagaan Bumiputera tetapi turut membelenggu ahli perniagaan kaum-kaum lain juga. Isu ini boleh dilihat melalui laporan majalah The Economist yang meletakkan Malaysia di tangga kedua dalam indeks kroni kapitalisme di belakang Rusia pada 2016.
Menurut laporan ini, kekayaan bilionair-bilionair yang terlibat di dalam sektor rent-seeking (seperti kasino, industri tenaga, perkhidmatan utilti dan telekom ) bersamaan dengan 13% Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia. Untuk perbandingan kekayaan bilionair Amerika Syarikat yang terlibat di dalam sektor ini hanyalah 1.8% daripada KDNK mereka.
Dari segi polisi pendidikan pula, banyak ketirisan berlaku sekaligus mengakibatkan golongan sasar tidak mendapat manfaat. Kajian oleh Mehmet dan Yip pada 1985 menunjukkan bahawa pelajar dari keluarga Bumiputera kaya 21 kali ganda lebih berpeluang mendapat biasiswa kerajaan berbanding keluarga Bumiputera miskin.
Lebih menyedihkan, situasi sebegini masih lagi berleluasa sehingga sekarang. Muhammed dalam wawancara televisyen beberapa tahun yang lepas ada menyatakan bahawa lebih kurang 40% pelajar di Maktab Rendah Sains Mara merupakan bukan dari golongan B40. Apa yang merisaukan katanya, ialah peratusan tersebut kian meningkat saban tahun. Pinjaman-pinjaman pendidikan ke luar negara yang diberikan oleh kerajaan banyak dimanfaatkan oleh Bumiputera kaya sahaja.
Perkara ini perlu diteliti agar golongan sasar iaitu Bumiputera bawahan dapat dibantu bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka pada masa akan datang.
Bolehkah ubah nasib orang Melayu?
Setelah separuh abad dasar ini diperkenalkan bagi membantu Bumiputera, kaum Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain.
Dasar yang direncana buat sementara waktu untuk membantu golongan yang terpinggir kini telah bertukar menjadi sebuah hak kerana sasaran masih belum dicapai.
Pemimpin-pemimpin Melayu harus dipersalahkan terlebih dahulu kerana gagal mengangkat martabat Melayu di bumi sendiri. Sebaliknya, mereka lebih gemar bersandiwara di hadapan orang Melayu kononnya ingin mempertahankan hak dan maruah Melayu sambil melaungkan ungkapan ‘Hidup Melayu’ dan menyanyikan lagu Anak Kecil Main Api.
Tatkala itu, pemimpin-pemimpin yang bersongkok ini terus memperkayakan diri mereka sahaja agar dapat memakai songket berharga puluhan ribu ringgit pada persidangan Melayu akan datang sedangkan dasar yang dirangka ini bertujuan membantu segenap lapisan Bumiputera.
Orang Melayu sendiri juga bermasalah. Mereka tidak gemar melibatkan diri dalam sektor ekonomi yang produktif dan sering diingatkan oleh pak lebai agar bersyukur dengan keadaan sedia ada.
Sikap menyalahkan kaum lain terhadap kemunduran diri sendiri sambil membicarakan tentang kemasyhuran sejarah dan asal-usul Melayu juga harus dinyahkan dalam kehidupan masyarakat Melayu.
Sesungguhnya Kongres Maruah Melayu tidak akan memberikan apa-apa makna seandainya kita terus lena dibuai mimpi dan tidak menginsafi tentang apa yang dilalui sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan