Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Ramasamy enggan menarik balik tuduhannya terhadap MIC mengenai perobohan ladang di Cameron Highlands, Pahang.
"Tidak seperti badut MIC yang bercakap suka hati, saya telah melakukan beberapa kajian mengenai kawasan di mana ladang-ladang itu terletak. Saya mempunyai fakta.
"Saya bersedia menghadapi cabaran undang-undang MIC kerana tak ada apa-apa yang lebih menyenangkan saya daripada berjuang untuk hak-hak sah petani," katanya dalam catatan Facebook petang ini.
Adun DAP itu berkata demikian sebagai respons terhadap Setiausaha Agung MIC M Asojan, yang menuntut Ramasamy untuk menarik semula tuduhannya dalam artikel yang diterbitkan di Malaysiakini semalam.
"Artikel itu secara langsung menggambarkan MIC menipu para petani untuk menarik balik injunksi interim terhadap kerajaan negeri Pahang yang mereka peroleh sebelumnya dengan meyakinkan para petani bahawa MIC akan memastikan penyelesaian yang baik untuk masalah mereka.
"Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa MIC tidak terlibat dalam penarikan semula injunksi oleh petani pada 30 Sept. Kami mempunyai bukti daripada salah seorang petani yang memfailkan kes itu dan kemudian menarik balik injunksi dengan sendirinya tanpa sebarang gangguan oleh MIC," tambahnya.

Mengulas kenyataan itu, Ramasamy bertanya: "Bagaimana 'kemaruk kuasa' saya menyumbang kepada penggusuran ladang, sejumlah 11 ladang pada fasa pertama dan hampir 40 pada fasa kedua pada 23 Dis, 2019?
"Sekiranya pemimpin Pakatan Harapan tidak campur tangan dalam fasa sebelumnya, semua ladang akan digusur.
"Dulu, tidak ada pemimpin MIC yang hadir ketika sebahagian daripada kami terlibat dalam protes terhadap perobohan itu. Tanpa kehadiran kami, kerajaan Pahang tidak akan menunggu lama (untuk menggusur)," katanya.
Ramasamy juga mendakwa memiliki bukti yang mencukupi untuk "menunjukkan peranan jahat yang dimainkan oleh beberapa pemimpin MIC" dalam memujuk petani untuk menarik balik injunksi interim.
"Saya tidak fikir para petani membuat keputusan sendiri untuk menarik balik perkara ini tanpa campur tangan dan janji daripada beberapa pemimpin MIC bahawa penyelesaian yang baik atau 'menang-menang' dapat dilaksanakan dengan kerajaan negeri Pahang.
"Asojan boleh mengatakan apa saja dia mahu selepas kesan yang besar ditanggung petani susulan perobohan ladang yang mereka telah laburkan masa dan wang selama hampir 60 tahun," katanya.
Ramasamy juga menuduh MIC tidak mempunyai keberanian untuk menentang pemimpin Umno berhubung perkara ini dan oleh itu memerlukan kambing hitam.
"Tanpa kesedaran asas dalam menghadapi pemimpin Umno, mereka melepaskan kekecewaan mereka terhadap saya dan pemimpin Pakatan Harapan.
"Bukan saya yang memberi perintah untuk merobohkan ladang, bukannya kemaruk kuasa saya, tetapi pembongkaran dibuat oleh pemimpin BN terhadap petani yang kebanyakannya penyokong Pakatan Harapan," katanya.
Ramasamy juga mengalu-alukan cabaran Asojan untuk menyaman fitnah.
"Marilah kita melihat di sisi mana kebenaran akan berpihak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan