HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Januari 2020

8,570 kemalangan dalam tempoh 5 hari Op Selamat

BERNAMA



Sejumlah 8,570 kemalangan jalan raya membabitkan 13,038 kenderaan dilapor dalam tempoh lima hari Op Selamat 16/2020 bersempena Tahun Baru Cina sejak dilancarkan pada Sabtu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata Selangor merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi iaitu 2,701 kes; diikuti Johor (1,348 kes); dan Kuala Lumpur (1,019 kes).

"Daripada 65 kemalangan maut yang direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini, penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 47 kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sejumlah 125,464 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 77,042 saman membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu; tidak mematuhi lampu isyarat; memandu melebihi had laju; menggunakan lorong kecemasan; memotong barisan; dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Jan bersempena perayaan Tahun Baharu Cina akan berlangsung sehingga 1 Feb ini.- Bernama


Tiada ulasan: