HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Januari 2020

Apa faedah sekolah Melayu tubuh pasukan tarian singa?

siti hafidah

 

Singa lalui upacara rasmi untuk menolak nasib buruk, semangat jahat

BANGI – Kenapa umat Islam sudah mula mengambil budaya luar yang tiada kaitan dengan cara hidup sebagai muslim, sedangkan banyak lagi aktiviti yang boleh menghidupkan dan mempromosi cara hidup Islam di sekolah serta aktiviti kemasyarakatan.

Demikian persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Muhammad Rusdi Alias berhubung tindakan sebuah sekolah kebangsaan – majoriti murid Melayu – di Terengganu menubuhkan pasukan tarian singa.

Menurut laporan Sin Chew Daily yang memetik guru besar berkenaan, Salmah Abdul Rahman sebagai berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Jerong adalah salah sebuah Sekolah Amanah.

Katanya, dalam rancangan Sekolah Amanah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) berharap untuk menggerakkan aktiviti silang budaya, membolehkan pelajar mengenali dan mempelajari budaya lain serta mempromosikan perpaduan.




“Sebenarnya pada permulaan penubuhan pasukan tarian singa, saya risau ibu bapa Melayu menentang, kerana sekolah terletak di perkampungan Melayu, bimbang masyarakat Melayu tidak dapat menerima sebuah SK dengan semuanya pelajar Melayu menubuhkan pasukan tarian singa yang dianggap sebagai aktiviti orang Cina,” kata beliau.

Oleh itu, Salmah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa, melaporkan kepada mereka rancangan aktiviti pelaksanaan silang budaya sekolah, antaranya pasukan tarian singa, kumpulan silat, tarian tradisional Melayu dan India.

Dilaporkan kebanyakan ibu bapa bersetuju, maka tertubuhlah pasukan tarian singa dengan rasminya pada 2019.

Pasukan tarian singa itu kini mempunyai 10 ahli dalam kalangan murid darjah 4 sehingga darjah 6.

Dikatakan ibu bapa mereka tidak mengeluh menghantar anak-anak berlatih setiap minggu sebagai tanda sokongan kepada latihan tarian singa yang diikuti oleh anak-anak.

Ustaz Rusdi berkata, situasi mutakhir ini memberi mesej yang amat bahaya bahawa umat Islam sudah merasai kekosongan dalam kehidupan mereka sehingga terpaksa mengimport budaya luar.

“Mereka mula hilang izzah dgn cara hidup mereka sendiri sebagai muslim. Kalau kita bangga dengan agama kita, maka kita akan berusaha mempromosi cara hidup dan budaya-budaya yang berkaitan dengan agama kita.

“Justeru, usaha para ulama, asatizah dan para duat perlu dilipatgandakan demi mengembalikan ummah kita kepada ajaran agama Islam yang sohih,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Rusdi melihat, sukar untuk mengatakan tarian singa tiada kaitan dengan agama kerana budaya juga berkait dengan kepercayaan.

“Bagaimanapun, sepatutnya sebagai seorang muslim, kita mesti memelihara kesucian akidah kita dengan menjauhkan diri dari perkara yang meragukan apatah lagi yang berkaitan dengan persoalan akidah dan kepercayaan.

“Contohnya serbuk merah bertujuan untuk menghalau semangat jahat, singa yang telah melalui upacara ini secara rasmi akan membawa nasib yang baik, serta limau bali bertujuan membuang nasib buruk,” katanya.


Tiada ulasan: