HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Januari 2020

Malaysia Airlines perlu RM21 bilion untuk terus beroperasi

MalaysiaGazette

MGF170819_Tinjauan-KLIA03






KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang dijangka mengalami kerugian memerlukan RM21 bilion untuk terus beroperasi sehingga tahun 2025 kecuali ia kembali pulih atau mendapat rakan strategik.

Jumlah pembiayaan RM21 bilion itu adalah “anggaran tinggi” berdasarkan memo oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) termasuk termasuk pembelian pesawat.

Ia bermakna, Khazanah perlu menyuntik kira-kira RM3.5 bilion setahun dengan RM1 bilion hingga RM1.6 bilion untuk beroperasi dan selebihnya pesawat.

Berdasarkan anggaran MAB ia memerlukan RM10.3 bilion yang dianggap Khazanah sebagai optimistik, menurut Focus Malaysia.

Memo itu berdasarkan rancangan perniagaan MAB yang dicadangkan pada tahun 2019-2025, juga dikritik oleh jawatankuasa Khazanah sebagai “terlalu optimis” kerana syarikat percaya pendapatan MAB naik antara 4% antara tahun 2019 hingga tahun 2025.

Ini berdasarkan fokusnya untuk “memacu pendapatan” dan “menguruskan kos” sambil mengekalkan “pengalaman pelanggan premium”.

MAB menganggarkan ia akan balik modal pada tahun 2022 dan menjadi stabil pada tahun 2024.
Sebaliknya, Khazanah tidak melihat apa-apa kelainan antara model perniagaan yang dicadangkan itu dan yang terdahulu.

“Khazanah berkata, pendapatan 4 peratus setahun akan ‘tidak mungkin’, memandangkan purata pertumbuhan MAB adalah 1 peratus setahun antara tahun 2016-2018.

“Khazanah menambah walaupun anggaran MAB diterima namun ia masih perlu membuat suntikan tambahan sebanyak RM10.3 bilion untuk membayar pinjaman RM5.6 bilion daripada syarikat tujuan khas Turus Pesawat Sdn Bhd untuk enam Airbus 380s dan operasi kewangan.

“Setakat ini, MAB sudah berisiko gagak membayar hutang Turus Pesawat,” kata artikel itu.

Khazanah membuat kesimpulan bahawa pelan perniagaan MAB tidak akan membantu ia membuat pemulihan yang diperlukan berdasarkan rekod prestasi lemah syarikat itu, keupayaan pelaksanaan dan ketidakupayaan untuk menangani penurunan pendapatan.

Memo itu juga mendapati jika MAB terus menerus merekodkan kadar pertumbuhan 1%, syarikat penerbangan itu tidak akan dapat balik modal.

Pada tahun kewangannya berakhir 31 Disember 2018, MAB meraih pendapatan sebanyak RM8.73 bilion tetapi kerugian bersihnya RM791.71 juta.

Sebelum ini dilaporkan empat syarikat – AirAsia Group Berhad, Japan Airlines Co Ltd, Air France-KLM SA dan Malindo Airways Sdn Bhd berminat untuk menjadi rakan strategi MAB. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: