HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Januari 2020

Ribuan penyokong Warisan, BN berkumpul dekat pusat penamaan calon

KOW GAH CHIE & HASPAIZI ZAIN



PRK KIMANIS | Ribuan penyokong Warisan dan BN berkumpul di Beaufort pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kimanis.

Pemimpin Warisan dan Pakatan Harapan berkumpul di Kompleks Sukan Beaufort, kira-kira 600 meter dari pusat penamaan calon.

Pemimpin Warisan dan kira-kira 1000 penyokong berpakaian putih dan mengibarkan bendera Warisan menunggu untuk berarak ke pusat penamaan calon.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dijadual mengiringi calon Warisan, Karim Bujang, 67 ke pusat penamaan calon. Karim tiba kira-kira jam 8.40 pagi.

Turut kelihatan ialah Presiden PH, Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah, Presiden Bersatu dan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung, Warisan Loretto Padua.

Manakala dari pihak BN, calonnya Mohamad Alamin tiba awal dan disambut kira-kira 1000 penyokong yang berkumpul di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort.

Mereka menunggu kedatangan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan.

Turut kelihatan ialah Presiden MCA, Wee Ka Siong, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan bekas presiden Umno, Najib Razak.

Masih tidak diketahui sekiranya ada calon bebas akan menyertai pilihan raya kecil ini.

Sementara itu berlaku provokasi penyokong kedua-dua parti disebabkan jarak berdekatan antara mereka, namun berjaya dikawal pihak polis.

Kimanis merupakan kerusi separa bandar yang memiliki seramai 29,644 pengundi berdaftar di mana 63,16 peratus adalah Bumiputera Islam, 30.67 peratus Bumiputera bukan Islam, 3.59 peratus Cina dan 2.58 peratus lain-lain kaum.

Pilihan raya kecil ini diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah Aman di kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Beliau mendapat 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang diperoleh Karim manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah, mendapat 1,300 undi.

Warisan memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun 2018, untuk mencabar keputusan pilihan raya berkenaan.

Tiada ulasan: