
Dr Manimalar Selvi Naicker berkata pihak berkuasa kesihatan Sabah patut lebih dipersalahkan daripada ahli politik.
“Walaupun mudah untuk menyalahkan ahli politik kerana tidak menyediakan wang untuk mevaksinkan semua kanak-kanak walau apa pun status pemastautin atau kewarganegaraan, mungkin bukan itu kebenarannya.
“Doktor-doktor yang berkenaan di Sabah patut sudah menganalisis dan lebih memahami ancaman itu bagi mendesak agenda vaksinasi besar-besaran apabila peluang itu muncul.
“Pihak berkuasa kesihatan Sabah tidak memahami sainsnya dengan secukupnya untuk mengejutkan ahli politik supaya bertindak,” katanya kepada FMT.
Manimalar berkata boleh difahami ahli politik juga ada perkara penting lain yang perlu diuruskan, menegaskan adalah menjadi tanggungjawab doktor untuk menyampaikan kepada mereka betapa besarnya ancaman itu.
Beliau berkata mungkin ada masalah tentang bagaimana doktor dididik mengenai sains vaksin, dan menambah 2 kes baru di Sabah mungkin bermakna ada yang belum dikesan.
Manimalar berkata kes-kes itu berada di kawasan geografi yang sangat berbeza.
“Doktor tidak selalunya terlatih untuk faham prinsip-prinsip jangkitan dan vaksinasi secara keseluruhannya. Vaksin bukan penyelesai sebarang masalah.”
Beliau berkata ibu bapa mungkin ada soalan yang wajar mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin, dan menambah vaksin memang ada risiko kesan sampingan yang kecil.
“Doktor harus ada pengetahuan secukupnya untuk menjawab soalan-soalan ini dan memujuk ibu bapa memilih vaksinasi untuk keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kecil,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan