KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari keputusan pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Kimanis diumumkan memihak kepada Barisan Nasional (BN), Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal tampil dengan kenyataan ucapan terima kasih kepada pengundi.
Dalam hantaran Facebooknya hari ini, Ketua Menteri Sabah itu menyatakan, PRK Kimanis pada 18 Januari lalu berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua jentera parti yang bekerja kuat dan memberi sumbangan dalam PRK ini.
“Bagi pihak Parti Warisan Sabah, kita terima keputusan para pengundi di Kimanis. Mereka telah bersuara dan mereka telahpun membuat keputusan,” katanya.
Pada PRK itu, BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis apabila calonnya, Datuk Mohamad Alamin, menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi.
Artikel berkaitan: TERKINI: Kimanis milik Barisan Nasional!
Manakala pencabarnya, Datuk Karim Bujang, dari Parti Warisan Sabah memperolehi 10,677 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari@Jupry Etok yang juga Pegawai Daerah Beaufort di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir pada 9.30 malam Sabtu lalu.
Menurut Shafie, beliau mengambil tanggungjawab atas kekalahan Karim dalam PRK itu.
Namun, katanya, walaupun kalah, Warisan akan terus memberikan perkhidmatan, bukan sahaja kepada penduduk di Kimanis, tetapi juga rakyat di negeri Sabah pada keseluruhannya.
“Pada masa sama, kita juga akan meneruskan usaha memperbaiki ekonomi, sistem pendidikan dan pembangunan infrastruktur di negeri Sabah.
“Apa yang penting, kita perlu bersikap rendah diri dan sentiasa utamakan kepentingan rakyat tidak kira kaum dan agama,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan