HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Januari 2020

Skor indeks rasuah lebih baik dari era Najib, kata Ramasamy

MALAYSIAKINI




Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy memuji pentadbiran Pakatan Harapan (PH) apabila berjaya menokok 10 kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019, yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Adun DAP itu juga membidas bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang didakwanya gemar melakukan "troll" terhadap PH di media sosial.

"Skor CPI kita mengalami trend menurun kerana Najib dan skandal 1MDB. Tetapi tanpa beliau, terdapat peningkatan ketara. Bolehkah Najib pertikaikan ini? "soal beliau.

Walaupun demikian dan ditambah pertuduhan dihadapi Najib, Ramasamy berkata bekas perdana menteri itu masih kekal popular dalam segmen tertentu.

"Kita tidak boleh memberikannya ruang untuk memanfaatkan kelemahan dan isu-isu dalaman kita. Kita mesti melakukan apa yang kita janjikan.

"Adalah tidak masuk akal seseorang yang telah didakwa dengan rasuah besar dan kecurian boleh melakukan perjalanan dalam negara dan bercakap seolah-olah dia seorang wira.

"Ia tak masuk akal apabila sesetengah orang boleh yakin bahawa pentadbiran dia lebih baik daripada kita. Jika kita dapat menunaikan janji-janji kita, ini tidak akan berlaku, "katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Timbalan Ketua Menteri itu sering dituduh menggugat kestabilan dalam PH kerana kritikannya terhadap kerajaan mengenai isu-isu tertentu dan kenyataan keras terhadap isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Saya akui bahawa saya telah mengkritik mengenai isu-isu tertentu. Tetapi pujian harus diberikan apabila perlu. Indeks CPI adalah salah satu daripadanya. Ini menunjukkan PH telah melakukan penambahbaikan, "katanya.

"Saya kritikal bukan kerana saya mahu mengutuk kerajaan atau PH tetapi untuk memperbaiki gabungan itu dan untuk mengelakkan daripada memberi kemenangan kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ramasamy juga berkata kekalahan PH dalam lima pilihan raya kecil bukan bermakna sokongan gabungan itu merosot.

"Ingat, PH memenangi lima pilihan raya kecil sebelum ini, menjadikannya seri.

"Berikutan kerosakan akibat skandal 1MDB dengan hutang asing dan domestik yang besar, ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan peningkatan dalam CPI.

"Selama hampir dua tahun yang lalu, pemulihan hutang dan skandal daripada BN menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh," katanya.

Pemimpin DAP itu juga mengakui beberapa menteri PH bekerja keras tetapi menegaskan masih banyak perlu dilakukan.

"PH harus ingat bahawa ia memenangi pilihan raya umum lepas kerana undi protes terhadap BN dan janji-janji yang telah dibuat dalam manifesto kami.

"Oleh itu, adalah penting janji-janji ini dipenuhi dan peralihan kuasa adalah salah satu daripada janji ini. Janji tetap janji. Ia tidak boleh dimungkiri. Ini adalah sebab saya begitu berkeras mengenai isu ini.

"Rakyat mempunyai harapan yang besar daripada kita. Kita tidak boleh menyalahkan mereka. Kitalah yang menciptakan perasaan ini dan dengan itu kita mesti menepati jangkaan ini dan bukan membuat alasan sepanjang masa, "katanya.


Tiada ulasan: