KUALA LUMPUR – Berikutan berita fitnah yang tersebar mengenai penglibatan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan isu fitnah lobi tender kerajaan, pegawainya hari ini bertindak membuat laporan polis.
Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang juga Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam laporan polis berkenaan berkata, beberapa laporan berita yang mendakwa Syed Saddiq berada di sebuah kondominium di Puchong sebelum premis tersebut diserbu polis juga tidak benar.
“Jelas laporan berita ini ternyata tidak benar juga turut dinafikan melalui kenyataan KBS hari ini yang melihat artikel tersebut mempunyai niat ‘politik’ untuk memburukkan nama baik beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan dan juga KBS serta kerajaan Malaysia,” demikan menurut Asyraf Mustaqim.
Syed Saddiq sendiri telah menafikan bahawa beliau berada di kondominium di mana 17 individu ditahan pada 13 Januari lalu.
Syed Saddiq yang menafikan maklumat kandungan portal itu yang menyatakan ‘Nasib menyebelahi Syed Saddiq apabila dikatakan dia sudah pulang lebih awal sebelum serbuan dibuat oleh pihak polis’ berkata, ia juga telah ditularkan oleh pihak ketiga.
Minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan pembantu politik, Ahmad Redzuan Shafi, adalah antara 17 orang yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong pada Ahad lalu. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan