Hazwan Mohamad
Kembalikan idea Sekolah Wawasan gabung semua bangsa

RAMAI
yang berteka-teki siapakah bakal dinamakan sebagai Menteri Pendidikan yang
baharu menggantikan Dr Maszlee Malik.
Ada
yang berpandangan diberikan kepada Tok Pa yang pernah menjawat jawatan Menteri
Pengajian Tinggi di era BN dahulu, ada yang berseloroh beri pada Anwar Ibrahim
pun ada.
Bagi
saya, sehingga PRU15 yang dijangka berlaku lebih awal, saya ingin mencadangkan
agar Tun Dr Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan. Biarpun
bercanggah dengan Manifesto PH, tetapi ingatlah kita bahawa manifesto bukan
kitab suci.
Kenapa
mesti Tun? Sebab saya membayangkan Tun boleh mengembalikan semula idea sekolah
yang menggabungkan semua bangsa dan kaum di dalam kawasan yang sama iaitu idea
Sekolah Wawasan yang terkubur setelah beliau berundur daripada kerusi PM ke-4.
Lagipun,
idea persis sekolah satu aliran ini tidaklah asing dari ideologi Tun yang cukup
tidak suka akan Sekolah vernakular.
Tun
Mahathir sewaktu meninggalkan pejabatnya ketika menjawat jawatan sebagai Perdana
Menteri ke-4 pada akhir tahun 2003 pernah menyebut;
“Jika rakyat di negara ini sengaja ingin mengasingkan diri dengan
berfikiran sekolah kebangsaan hanya patut dipenuhi kanak-kanak Melayu, sekolah
Cina untuk kanak-kanak Cina dan Tamil untuk kanak-kanak Tamil saja, maka sudah
tentu sukar untuk membentuk corak rakyat Malaysia yang ada sekarang ini.
Kemudian
pada tahun 2012, ketika hangat kembali cadangan menghapuskan sekolah
vernakular, Tun sekali lagi menyebut;
“Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan
sebagainya, maka kita akan ada 3 rakyat berlainan, dengan setiap satu bercakap
dalam bahasa berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama
sekiranya kita tidak memahami satu sama lain,” katanya yang dipetik Bernama.
Tahun
2014, Tun sekali lagi mengulangi pendirian beliau apabila melihat begitu banyak
sekali Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diberi kelulusan. Tun menyebut dalam
blognya;
“Dengan perkembangan ini, anak daripada kaum berbeza hilang semua
peluang untuk membesar bersama – anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina
ke sekolah rendah dan menengah Cina, dan India ke sekolah Tamil,” terang beliau.
Tahun
ini, apabila Tun menduduki kembali kerusi Perdana Menteri Malaysia, beliau
sekali lagi menyatakan pendirian beliau. Tun menyebut bahawa sekolah vernakular
menjadi penghalang perpaduan kaum di Malaysia;
“Ini bermakna berlainan bangsa pergi ke sekolah yang berbeza.
Mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan apabila mereka tamat sekolah,
mereka pergi bekerja dengan kaum lain yang tidak mereka kenali. Ini menjadi
penghalang kepada perpaduan negara,” katanya.
Saya
melihat bahawa sudah tiba waktunya untuk kita menilai semula Sekolah vernakular
di Malaysia.
Dalam
menelusuri detik-detik Malaysia Baharu, dalam kita mahu ‘membina semula negara’
ini kita perlu jujur dan berani.
Tidak
ada mana-mana negara di seluruh dunia hatta negara jiran kita yang paling
hampir, Singapura pun tetap mengangkat sistem pendidikan satu aliran walaupun
mereka juga berbilang bangsa.
Baru-baru
ini ketika Menteri Kewangan membentangkan belanjawan 2019, kecoh apabila
melihat bagaimana kerajaan seolah-olah tidak melakukan analisa keperluan yang
mendalam ketika mengagihkan peruntukan.
Dan
ini menimbulkan polemik ketidakpuashatian dalam kalangan rakyat.
Saya
kira, jika hasrat Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad diteruskan iaitu
meletakkan asas pendidikan kita kepada sekolah satu aliran sahaja, polemik
seperti ini tidak akan berlaku.
Anak
Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan dan anak Iban, semua anak kita, dan
semua duduk belajar dalam satu sekolah yang sama, menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar bahasa perpaduan seluruh anak Malaysia!
Bila
saya amati balik ucapan Tun ketika mahu meninggalkan Pejabat Perdana Menteri
ke-4 tahun 2003 itu, maka tahulah saya, mengapa Tun ketika awal mengangkat
sumpah menyatakan hasrat beliau mahu memegang portfolio Menteri
Pendidikan.
Wahai
seluruh anak Malaysia, sudah tiba masanya untuk kita jujur dan berani, untuk
sebuah masa hadapan Malaysia yang lebih baik dan harmoni.
Hidup
Rakyat!
*Hazwan Mohamad- Presiden, Professional Muslim Community (PMC)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan