MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 21 Februari 2020
Alasan penuh AG bebaskan 12 tertuduh berkaitan LTTE
TOMMY THOMAS
PERBICARAAN LTTE
Pada
29 Oktober 2019, 12 lelaki warga Malaysia telah dituduh dengan
menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Kesemua tertuduh sejak
itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)
2012, atau dikenali sebagai Sosma, dan akan berhadapan dengan
perbicaraan dalam bulan-bulan mendatang.
LTTE
Ditubuhkan
pada Mei 1976 oleh Velupillai Prabhakaran, LTTE terlibat dengan
pertempuran bersenjata terhadap anggota keselamatan kerajaan Sri Lanka
dan menjelang akhir tahun 1980-an merupakan kumpulan militan Tamil yang
dominan di Sri Lanka. Sejak 1983, lebih daripada 80,000 orang mati
terbunuh dalam perang saudara yang memakan masa selama 26 tahun.
Mahinda Rajapaksa, Presiden Sri Lanka telah mengisytiharkan kemenangan ketenteraan ke atas Tamil Tigers pada 16 Mei 2009.
Pemberontak-pemberontak
telah menawarkan untuk meletakkan senjata sebagai gantian jaminan
keselamatan. Pada 17 Mei 2009, Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa LTTE,
Selvarasa Pathmanathan mengakui kekalahan, menerusi kenyataan di dalam
emel, “this battle has reached its bitter end” (pertempuran ini telah sampai ke penghujungnya yang pahit).
Dengan berakhirnya permusuhan, 11,664 ahli LTTE telah menyerah diri kepada tentera Sri Lanka pada Mei 2009.
Pada
Ogos 2011, Presiden Rajapaksa membentangkan kepada Parlimen pembatalan
peraturan darurat negara yang keras diperkenalkan pada 2005 untuk
menangani ancaman LTTE.
Presiden Rajapaksa memaklumkan Parlimen
pada tahun 2011 bahawa “sejak masa ketika aktiviti pengganas berakhir
pada Mei 2009 sehingga hari ini tiada laporan-laporan berkaitan
aktiviti-aktiviti pengganas”.
Penerbitan bebas dan terkemuka oleh UNHCR, Jabatan Negara AS dan Janes Defence Weekly mengesahkan bahawa LTTE telah menghentikan semua aktiviti-aktiviti di Sri Lanka menjelang 2009.
Pada
Oktober 2014, Mahkamah Keadilan Eropah telah membatalkan
sekatan-sekatan anti-pengganas dan beberapa sekatan-sekatan lain yang
dikenakan oleh Kesatuan Eropah ke atas LTTE pada 2006.
Mahkamah
mengambil maklum bahawa keputusan untuk mengharamkan LTTE dibuat
berdasarkan kepada “tuduhan yang berasal daripada media dan internet”
berbanding dengan siasatan langsung aktiviti-aktiviti kumpulan itu,
sepertimana yang dikehendaki oleh undang-undang. Setelah itu, pada Mac
2015, Kesatuan Eropah telah mengenakan semula sekatan-sekatan dan
larangan-larangan tersebut.
Pada
Julai 2017, LTTE telah dikeluarkan dari senarai hitam pengganas
Kesatuan Eropah oleh Mahkamah Keadilan Eropah buat kali kedua.
Mahkamah
mendapati tiada bukti untuk membuktikan bahawa LTTE menjalankan
serangan-serangan selepas kekalahan ketenteraannya pada 2009.
LTTE tidak disyaki mahupun dikaitkan dengan serangan letupan bom baru-baru ini di Sri Lanka pada hari Easter tahun 2019.
LTTE tidak pernah dalam sejarahnya menjalankan serangan-serangan keganasan di Malaysia. Kriteria dan pertimbangan bagi pendakwaan
Sebagai
Pendakwa Raya, saya mestilah memastikan kelakuan saya adalah
sebagaimana yang akan menjaga, menggalakkan dan mempertahankan
kepentingan keadilan: Polisi Pendakwaan yang dikeluarkan oleh Pejabat
Pendakwa Raya-Pendakwa Raya Australia pada Ogos 2019 menyatakannya
dengan tepat:-
“Dalam analisis akhir pendakwa bukanlah hamba kerajaan atau individu-individu – dia adalah hamba kepada keadilan”.
Ia
adalah kewajipan pendakwa bahawa undang-undang diaplikasikan dengan
betul dan mencari keseimbangan antara kepentingan awam yang bercanggah.
Kesungguhan
membuat persediaan untuk perbicaraan membuatkan ianya berbeza daripada
penyiasatan oleh polis atau agensi siasatan yang lain. Para pendakwa
hendaklah mengambil kira fakta-fakta yang hanya diketahui semasa kes
berkembang setelah pertuduhan-pertuduhan dikenakan.
Kecukupan bukti untuk membuktikan standard jenayah “melampaui keraguan munasabah” sentiasa menjadi cabaran.
Saya
hendaklah berpuas hati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk
memperolehi prospek yang jelas untuk sabitan terhadap setiap suspek bagi
setiap pertuduhan. Dalam mencapai keputusan tersebut, saya hendaklah
menjalankan budi bicara dengan bertanggungjawab dan saksama.
Adalah dimaklumi bahawa 6 tertuduh telah dituduh bagi kesalahan yang dikatakan berlaku di antara Mac dan Disember 2014.
Walau
bagaimanapun, para pendakwa tidak mendapati ianya sesuai untuk menuduh
mereka segera setelah kesalahan-kesalahan yang dikatakan telah
dilakukan.
Ia adalah bercanggah dengan kepentingan awam bagi 6
orang ini dibicarakan pada 2020 kini untuk kesalahan-kesalahan yang
dikatakan dilakukan 6 tahun lepas. Peredaran masa adalah tidak boleh
diterima bagi kes seumpama ini.
Pertuduhan-pertuduhan berkaitan
dengan 6 tertuduh melibatkan kesalahan- kesalahan yang dikatakan berlaku
pada Januari dan Oktober 2019.
Namun pada masa ini, walaupun
LTTE masih lagi digazet di bawah undang-undang kita sebagai kumpulan
pengganas, pihak pembelaan akan mencabar bahawa LTTE tidak
bertanggungjawab terhadap keganasan waima dalam negara asalnya, Sri
Lanka pada 2019, inikan pula mempunyai impak ke atas urusan seharian
orang-orang awam di Malaysia.
Kaitannya adalah jauh, tidak betul dan lemah. Mudarat kepada warga Malaysia tidak boleh dibuktikan oleh pendakwaan.
Seksyen 95 Kanun Keseksaan memperuntukan berkenaan perbuatan yang menyebabkan kemudaratan kecil. Ia memperuntukan:-
“Tiadalah
apa-apa jua menjadi kesalahan oleh sebab ia menyebabkan atau ia
dimaksud menyebabkan atau ia diketahui mungkin menyebabkan apa-apa
kemudaratan, jika sekiranya kemudaratan itu adalah sebegitu kecil yang
seseorang yang berakal dan berperangai biasa tidak akan mengadu tentang
kemudaratan yang seperti itu.”
[penegasan saya]
Seksyen
95 memberi penekanan kepada “kemudaratan”: oleh itu, kesalahan yang
tiada mangsa atau yang tidak “memudaratkan” sesiapa seharusnya
dipertimbangkan dengan berhati-hati oleh pendakwaan.
34 Pertuduhan
Pada
mulanya fokus adalah pada Sosma kerana tertuduh telah ditangkap dan
ditahan selaras dengan prosedur-prosedur yang digariskan dalam Sosma.
Walau
bagaimanapun, memandangkan perbicaraan mereka semakin hampir,
pendakwaan perlu beralih kepada Kanun Keseksaan yang mengandungi
peruntukan-peruntukan yang mana kesalahan-kesalahan yang membentuk asas
pertuduhan dijumpai.
12
orang yang dituduh untuk tindakan-tindakan pengganas berhadapan dengan
34 pertuduhan, yang mana boleh dibahagikan kepada 5 kategori kesalahan
seperti berikut:-
(i) 6 pertuduhan untuk “memberi sokongan” kepada LTTE dalam suatu majlis;
(ii) 13 pertuduhan untuk “memberi sokongan” kepada LTTE dalam media sosial;
(iii) 13 pertuduhan untuk “memiliki” bahan-bahan berkaitan dengan LTTE;
(iv) 1 pertuduhan untuk “mengedar” bahan-bahan berkaitan dengan LTTE;
dan
(v) 1 pertuduhan untuk “memaparkan” bahan berkaitan dengan LTTE.
Terma-terma “memberi sokongan”, “memiliki”, “mengedar” dan “memaparkan” ditakrifkan di dalam Kanun Keseksaan.
Seksyen 130J(1) Kanun Keseksaan menjadikan ianya satu kesalahan sekiranya seseorang “memberi sokongan” kepada:
a) mana-mana kumpulan pengganas;
atau
b) berlakunya perbuatan pengganas.
Seksyen
130J(2) menyenaraikan banyak contoh “memberi sokongan” termasuklah:
“menggunakan media sosial atau apa-apa cara lain untuk–
(i)
menyokong atau mempromosikan suatu kumpulan pengganas, sokongan untuk
suatu kumpulan pengganas atau pelakuan suatu perbuatan pengganas;
atau
(ii) menjalankan atau memudahkan aktiviti suatu kumpulan pengganas.”
Seksyen 130JB(1) Kanun Keseksaan menjadikan ianya satu kesalahan bagi seseorang yang:
a) mempunyai milik, jagaan atau kawalan;
atau
b)
menyediakan, memaparkan, mengedar atau menjual apa-apa bahan yang
berkaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas atau pelakuan suatu
perbuatan pengganas.
Apakah itu “Kumpulan Pengganas”?
Seksyen
130B(1) Kanun Keseksaan mendefinisikan terma “kumpulan pengganas”
dengan merujuk silang peruntukan di dalam akta lain, iaitu, Seksyen 66B
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan
dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen 66B(1) Akta
tersebut memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri, sekiranya beliau
berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya oleh seorang
pegawai polis, bahawa “suatu entiti telah dengan disedarinya melakukan,
mencuba untuk melakukan, mengambil bahagian dalam perlakuan atau
memudahkan perlakuan, suatu perbuatan keganasan”, boleh, melalui
perintah yang disiarkan dalam Warta, mengisytiharkan entiti itu sebagai
entiti ditentukan, dan oleh itu kumpulan pengganas.
Walau
bagaimanapun, suatu perintah yang dibuat di bawah Seksyen 66B(1) oleh
Menteri Dalam Negeri bahawa suatu entiti adalah kumpulan pengganas tidak
dimaksudkan untuk kekal dan bertahan selama-lamanya.
Parlimen
mengiktiraf bahawa, dengan peredaran masa, satu kumpulan yang
menggunakan keganasan untuk mencapai matlamatnya mungkin bertukar atau
menyesuaikan pendekatan dengan menolak keganasan dan menerima
kaedah-kaedah yang aman sebagai ganti.
Sejarah penuh dengan
contoh-contoh seumpama itu. Seksyen 66B(9) oleh itu memperuntukan bahawa
menteri tersebut hendaklah mengkaji semula perintah yang dibuatnya
“tiap-tiap 6 bulan untuk menentukan sama ada masih terdapat alasan yang
munasabah bagi perintah tersebut untuk terus terpakai bagi sesuatu
entiti tertentu”, dan sekiranya menteri tersebut menentukan bahawa tidak
terdapat alasan yang munasabah, beliau hendaklah dengan segera
membatalkan perintah yang dibuatnya sebelum ini.
Oleh itu ianya
jelas dan nyata bahawa undang-undang menghendaki suatu perintah
mengisytiharkan sesuatu entiti sebagai kumpulan pengganas hendaklah
dikaji semula setiap 6 bulan oleh menteri tersebut. Sekiranya
tindakan-tindakan atau kecenderungan kepada keganasan berterusan,
perintah tersebut dikekalkan.
Jika sebaliknya, tindakan-tindakan
sedemikian telah berhenti atau entiti tersebut telah hampir luput, tidak
wujud lagi atau dibubarkan, maka perintah tersebut seharusnya
dibatalkan.
Parlimen telah menggunakan ungkapan “alasan yang
munasabah”, dengan itu menandakan satu standard objektif yang boleh
disemak oleh mahkamah sekiranya satu tindakan undang-undang diambil.
Ia
bukanlah standard subjektif berdasarkan kepada perasaan. Satu contoh
domestik dan luar negeri yang terfikir berkenaan bagaimana
organisasi-organisasi ketenteraan/politik berubah dengan peredaran masa.
Sekiranya
Parti Komunis Malaya (PKM) diisytiharkan dalam tahun 2020 sebagai
“kumpulan pengganas” di bawah Seksyen 66B(1), perisytiharan tersebut
merupakan satu kesalahan dalam menjalankan kuasa yang diperuntukan oleh
statut kerana hakikatnya adalah Kerajaan Malaysia telah menandatangani
Perjanjian Damai dengan PKM pada tahun 1989 di Hat Yai, dan PKM telah
lama tidak wujud lagi.
Di Ireland, Sinn Fein pada mulanya
menyokong IRA dalam matlamat ketenteraannya, namun dengan peredaran masa
menjadi parti politik biasa yang telah berhenti berjuang menggunakan
keganasan untuk mendapatkan kuasa.
Sokongan pengundi daripada
peti undi di dalam pilihan raya umum Ireland baru-baru ini sangat
mengagumkan. Apa-apa keputusan oleh menteri Malaysia pada tahun 2020
untuk mengisytiharkan Sinn Fein sebagai “kumpulan pengganas” akan begitu
juga adalah satu kesilapan di sisi undang-undang.
LTTE telah
diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Menteri Dalam Negeri
melalui perintah yang digazetkan pada 12 November 2014.
Salah
seorang daripada tertuduh telah dituduh memberi sokongan dan mengedar
bahan-bahan berkaitan LTTE pada bulan Mac dan Jun 2014, iaitu sebelum
LTTE digazetkan sebagai kumpulan pengganas.
Ia
adalah jelas bahawa pertuduhan-pertuduhan tersebut yang dikenakan ke
atasnya tidak boleh dipertahankan kerana pada masa tersebut LTTE belum
lagi digazetkan, yang merupakan elemen yang dikehendaki untuk
kesalahan-kesalahan tersebut.
Tambahan pula, pihak pembelaan bagi
setiap tertuduh boleh menghujahkan bahawa perisytiharan bahawa LTTE
adalah kumpulan pengganas pada 12 November 2014 berkemungkinan tidak sah
atau setidak-tidaknya patut dibatalkan selaras dengan kajian semula
Perintah di bawah Seksyen 66B(9).
Apakah itu “Perbuatan Pengganas”?
Suatu
“perbuatan pengganas” didefinisikan dalam Seksyen 130B(2) Kanun
Keseksaan untuk bermakna suatu perbuatan atau ugutan tindakan dalam atau
luar Malaysia yang bertepatan dengan satu atau lebih kriteria dalam
Seksyen 130B(3) dan yang dengan jelas tidak termasuk dalam pengecualian
yang diperuntukan dalam Seksyen 130B(4).
Kriteria yang
disenaraikan dalam Seksyen 130B(3) menjadikan ianya jelas bahawa
perbuatan pengganas atau ugutan tindakan yang difikirkan adalah bersifat
berat dan serius.
Contoh-contoh termasuklah perbuatan yang menyebabkan kematian dan penggunaan senjat api dan bahan letupan.
Pengecualian
yang diperuntukan dalam Seksyen 130B(4), sebaliknya, menunjukkan dengan
jelas bahawa perbuatan-perbuatan sokongan, bantahan, pertentangan
pendapat atau tindakan industri yang tidak berniat untuk menyebabkan
kematian, cedera parah atau risiko pada keselamatan awam bukanlah
perbuatan pengganas atau ugutan tindakan.
Dengan kata mudah, perbuatan aman bukan perbuatan pengganas.
Pengecualian
yang diperuntukan dalam Seksyen 130B(4) mencerminkan pengiktirafan
Parlimen terhadap hak-hak asasi perlembagaan, termasuk hak kebebasan
bercakap dan bersuara dan hak kebebasan untuk berpersatuan dan
berhimpun.
Garis pemisah antara perbuatan-perbuatan yang boleh
dikatakan sebagai perbuatan pengganas dan perbuatan yang tidak adalah
keseriusan perbuatan itu: sekiranya perbuatan tersebut menyebabkan atau
dengan niat untuk menyebabkan kematian orang lain, ia adalah perbuatan
pengganas.
Namun,
sekiranya ia hanya kenyataan atau bantahan, sama ada dalam media sosial
atau sebaliknya, tanpa ugutan keganasan, ia bukanlah perbuatan
pengganas.
KEPUTUSAN
Ia
adalah lazim untuk mempunyai idola yang diagungkan. Ia bukan sekadar
bintang pop, ahli sukan atau pelakon yang dikagumi:
personaliti-personaliti sejarah dan ahli politik adalah subjek yang
sering dipuja.
Oleh itu, jutaan orang diseluruh dunia mengagumi Lenin, Stalin, Mao Tse Tung atau Che Guevara, dan seumpamanya.
Mempunyai
gambar-gambar mereka dan representasi-representasi lain yang berkaitan
dengan mereka di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook seseorang
tidak menukar seseorang menjadi pengganas.
Hanya kerana setiap
seorang pemimpin ini menggunakan keganasan atau kekerasan untuk mencapai
matlamat politik mereka tidak bermakna bahawa seorang penyokong tegar
atas talian seharusnya dianggap sebagai seorang pengganas atau merancang
perbuatan keganasan.
Itu
merupakan tema umum kesemua 12 tertuduh LTTE. Setiap seorang daripada
mereka mempunyai di dalam telefon bimbit atau akaun Facebook mereka
gambar Prabhakaran dan pemimpin-pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa
Perang Saudara di Sri Lanka.
Sekiranya perbuatan sedemikian boleh
terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan
undang-undang ke tempat yang tidak dihormati.
Namun walaupun
berkemungkinan terdapat elemen-elemen “perbuatan pengganas” dipihak
kesemua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE dengan memiliki, mengedar
atau memaparkan gambar-gambar tersebut atau Prabhakaran, ia adalah
mustahil bagi pendakwaan untuk membuktikan bahawa mereka tidak termasuk
dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan yang mana ia
sekadar terjumlah “sokongan, bantahan atau pertentangan pendapat”.
Berdasarkan
sebab-sebab tersebut, saya telah membuat keputusan bahawa tiada prospek
yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas
mana-mana 34 pertuduhan tersebut.
Oleh yang demikian, dalam
menjalankan kuasa budi bicara saya menurut Perkara 145(3) Perlembagaan
Persekutuan, saya telah memutuskan untuk memberhentikan
prosiding-prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta.
Tan Sri Tommy Thomas Pendakwa Raya / Peguam Negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan