HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Februari 2020

Kalau tak dapat Dr Maza, Ogy nak cuba mufti Wilayah

NADIA AZAM



Seniwati terkenal, Ogy Ahmad Daud, mengaku sikap Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyebarkan ilmu Islam tanpa mudah menjatuhkan hukum membuatnya tertarik untuk ‘melamar’ Mufti Perlis berkenaan bagi menjayakan pementasan terbaru.

Ogy yang juga pengarah urusan Ogy Ventures & Network Sdn Bhd berkata cara Mohd Asri sangat menarik perhatiannya, terutama apabila tokoh terbabit tidak cepat menilai seseorang.

“Cara beliau menyampaikan mesej sewaktu berceramah menampakkan Islam itu sebagai agama indah, justeru saya berterima kasih kepada beliau kerana mendidik orang ramai untuk melihat Islam itu sebagai agama yang cantik,” katanya.

Untuk rekod, Ogy berminat membawa Mohd Asri ke dalam arena seni selepas pertemuan pertama mereka di sebuah lapangan terbang kira-kira tiga tahun lalu.

Ogy kemudian mula memberanikan diri menghantar surat pelawaan pada Mohd Asri pada November 2019 sebelum 'lamaran' tersebut dipersetujui Mohd Asri kira-kira dua minggu lalu.

Selain itu, kata Ogy, sifat humor yang ada pada Mohd Asri - dan mungkin tidak disedari ramai - dilihat bersesuaian untuk pementasan berkenaan dan membolehkan beliau mengangkat tema komedi seram yang dirancang.

“Apabila beliau hadir sebagai juri dalam program PU (Pencetus Ummah) dan melontarkan kritik, saya nampak sisi lain pada beliau.

"Beliau mempunyai sense of humour (naluri humor), dan bukan seorang asbol (asal boleh),” katanya berseloroh.

Kena ada wibawa

Pelakon dan penyanyi memiliki nama sebenar Fauziah Ahmad Daud itu ditemui pada majlis pengumuman teater Korupsi Dewan Semandung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Naskhah mendapat arahan Khir Rahman itu akan dipentaskan selama tiga hari bermula 28 Februari ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Selain Mohd Asri, barisan pelakon yang bakal menjayakan pementasan tersebut ialah Vicha, Tauke, Abam Bocey, Mark Adam, Joey Daud, Azrul Chemat, Tapai dan Chiwan serta pelakon baharu, Hanna Halim.
Ditanya sama ada Ogy, 57, mempunyai pelan B jika Mohd Asri menolak pelawaannya dulu, dia berkata, 'sasaran' kedua ialah seorang lagi mufti, iaitu Dr Zulkifli Mohamad.

Zulkifli ialah mufti Wilayah Persekutuan.

“Kemungkinan besar, saya akan cuba untuk mendapatkan mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Ogy, untuk menjayakan pementasan Korupsi Dewan Semandung, ia memerlukan seorang tokoh agama yang mempunyai aura tersendiri semasa menyampaikan kata-kata.




“Bukan tak boleh pilih mana-mana peserta PU atau Dai (rancangan realiti di TV), tapi kena ada kewibawaan untuk pegang panggung. Bukan mudah untuk berikan (pedoman) pada anak muda yang belum ranum,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan Mohd Asri sebagai berkata, bukan menjadi masalah untuk beliau menjayakan Korupsi Dewan Semandung apabila hanya dikehendaki muncul sebagai dirinya sendiri - sama seperti ketika menjalankan tugas hariannya sebagai seorang mufti - bukannya membawa watak lain.

Bahkan menurut Mohd Asri lagi, antara perkara menarik minatnya untuk menyertai pementasan tersebut adalah disebabkan tajuk yang dibawa mengandungi perkataan “korupsi.”

Menjelaskan perkara tersebut, Ogy berkata, pendekatan korupsi yang dimaksudkan sebenarnya mempunyai tafsiran yang lebih meluas.

“Jangan mengehadkan terminologi korupsi pada aliran satu itu saja. Boleh jadi korupsi akidah, fikiran daripada perkara kecil hingga terjadi kemurungan atau korupsi media sosial.

“Kami gunakan pendekatan komedi tapi mempunyai pengisian kuat. Kena faham ya, walaupun guna pelawak, tidak bermakna mereka hanya buat sketsa,” katanya.


Tiada ulasan: