HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Februari 2020

Kerajaan Rangka Cadangan Penjara 20 Tahun Hukum Pemandu Mabuk – Guan Eng








BUTTERWORTH – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Ia termasuk menaikkan denda daripada tidak lebih RM20,000 sehingga RM100,000 dan penjara 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

“Kerajaan sedang merangka untuk meminda hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) ini bagi mereka yang telah menyebabkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian apabila memandu dalam keadaan mabuk,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi 5 beradik yang kehilangan bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor, 39, selepas dilanggar pemandu kereta dipercayai mabuk dalam kejadian Ahad lepas, di kediaman keluarga itu di Jalan Hj Mohd Saad, dekat Bagan Jermal hari ini.

Lim berkata, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia agak tinggi, iaitu antara yang tertinggi di dunia.

“Jadi, kita harus mendapat kerjasama daripada orang ramai sungguhpun kadar sebenarnya sudah menurun, tetapi kita harap dapat mengurangkan kadar itu. Kita tidak mahu lihat hampir 7,000 korban nyawa hampir setiap tahun akibat kemalangan jalan raya.”

Terdahulu, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada 5 beradik itu.

Tiada ulasan: