DI sebalik momokan kononnya lelaki yang berpakaian seperti wanita di Mekah dan Madinah berdepan dengan hukuman mati, hakikatnya, hukuman sebenar dikenakan terhadap mereka berdasarkan undang-undang sedia ada Arab Saudi hanyalah dengan membayar denda antara 100 riyal (RM109) hingga 3,000 riyal (RM3,291).
Penjelasan itu diberikan oleh seorang penceramah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau lebih dikenali dengan nama pena sebagai Ustaz Abu Syafiq Al-Asy’ary dalam Facebook miliknya.
Menurut Mohd. Rasyiq, beliau tampil untuk memberi penjelasan tersebut bagi memperbetulkan kekeliruan orang ramai.
“Hukuman paling berat yang boleh dikenakan ke atas Sajat dan rakan-rakannya hanya membayar denda 3,000 riyal (RM3, 291).
“Denda sebenar antara 100 hingga 3,000 riyal. Harga jubah pun 150 riyal sehelai. Ini kerana kesalahan Sajat ialah dari segi pakaian,” katanya.
“Sepatutnya kita desak kerajaan Arab Saudi menjatuhkan hukuman yang lebih berat lagi.
“Hukuman sebanyak 3,000 riyal terlalu sedikit bagi usahawan berjaya seperti Sajat.
“Kesalahan Sajat dari segi undang-undang di Arab Saudi adalah pakaian. Dia tak buat salah lain, tak raba orang, tak perkosa orang,” jelas beliau.
Dalam masa sama, Mohd. Rasyiq mendakwa, bahawa cara ibadah yang ditunjukkan Sajat dengan sengaja memakai telekung bukan sahaja tidak sah, malah mengundang laknat Allah SWT.
“Kita sedia maklum antara yang wajib dilakukan seorang lelaki ketika umrah ialah memakai ihram. Pakaian ihram itu hendaklah tak langgar batasannya (memakai kain tidak berjahit).
“Memang kalau ikut hukum, boleh bayar fidyah. Tapi isunya di sini, dia pakai (telekung) kerana apa. Dia bukan pakai kerana satu keperluan tapi untuk mengundang laknat Allah,” katanya lagi.
Ujar Mohd. Rasyiq, Nabi Muhammad SAW melaknat lelaki memakai pakaian perempuan.
“Sajat ke makam Nabi, maknanya Rasulullah SAW melaknat dia dan kawan-kawan dia.
“Ibadatnya tak sah. Walaupun bayar dam, bayar fidyah, tak ada sahnya. Kerana dia sengaja mengundang laknat Allah. Tak ada satu mahzab kata ibadah cara Sajat itu sebagai sah,” katanya.
Beliau turut memberi contoh dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah, antaranya ayat 205 yang mengisahkan ibadat haji dan umrah.
“Dalam ayat ini, Allah SWT berfirman maksudnya, ada dalam kalangan orang yang kita akan takjub dengan dia tentang kecantikan atau sebagainya dan kata-kata dia dan apa yang ada pada dia. Allah kata, mereka ini dapat peluang (masuk Mekah, Madinah), akan usahakan mencari jalan untuk merosakkan muka bumi ini dengan cara sangat licik seperti yang berlaku ini,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan