HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Julai 2021

9836 orang beri RM715,573 kepada Syed Saddiq untuk ikat jamin

  Wartawan Suara Merdeka

SERAMAI 9,836 orang memberi sumbangan berjumlah RM715,573.77 kepada Ahli Perlimen Muar Syed Saddiq bagi membantunya melunaskan wang ikat jamin berjumlah RM330,000.

Sumbangan tersebut yang boleh digunakan bagi membeli bakul makanan untuk lebih 14,000 rakyat miskin akibat pandemik Covid-19 berjaya dikutip dalam tempoh 24 jam selepas Syed Saddiq membuat rayuan untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin tersebut di media sosial.

“Saya berhutang dengan Malaysia. 24jam. RM715,573.77. 9836 penyumbang. Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih. Saya selamanya terhutang budi.

“Saya tidak akan berhenti sehingga kita berjaya membina Malaysia untuk semua rakyat Malaysia. Malaysia di mana setiap rakyat dengan bangganya dapat memanggil sebagai tempat tinggal. Rumah kita,” kata Syed Saddiq di Facebooknya.

Syed Saddiq yang sebelum ini kehilangan wang tunai RM200,000 dari peti besi di kediamannya awal tahun lalu berkata, beliau terharu sehingga ingin menangis apabila seorang lelaki tua turut mahu menyumbang RM10 bagi membantunya.

Kataya, disebabkan moment seperti itu yang menyebabkan beliau menyertai politik.

“Saya tutup fundraising kerana dana untuk bayaran bail/wang jaminan sudah lebih mencukupi.

“Petang tadi, ada pakcik datang ke pejabat saya. Ingatkan nak minta bantuan. Rupanya nak sumbangkan RM10 ke saya. I felt like crying. It’s in moment like this, i am reminded why i joined politics.

“Bukan kerana jawatan atau wang, tetapi untuk membina Malaysia yang maju dan bermaruah,” kata Syed Saddiq.

Bekas menteri belia dan sukan itu sebelum ini merayu sumbangan orang ramai untuk membantunya melunaskan wang ikat jamin berjumlah RM330,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis.

Sumbangan berkenaan juga bagi membiayai kos guaman melibatkan kes mahkamah Ahli Parlimen Muar itu.

“Walaupun sumbangan berjumlah 50 sen atau RM1 tapi kalau ribuan yang menyumbang, kita akan capai jumlah berkenaan dan saya mampu membayar kepada mahkamah. Jadi saya benar-benar perlukan bantuan anda,” katanya dalam siaran secara langsung (live) di media sosial pada malam Khamis.

Beliau dibicarakan atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM1.1 juta daripada dana milik Parti Pribumi Bersatu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada Mac tahun lalu Malaysia dikejutkan dengan kehilangan wang tunai lebih RM200,000 dari peti besi rumah yang didiami Syed Saddiq.

Beliau menafikan laporan media bahawa wang tunai itu milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebaliknya ia adalah wang peribadi bagi tujuan pengubahsuaian rumah.

Syed Saddiq berkata, mereka membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang itu yang mana RM90,000 adalah miliknya; RM50,000 (ibunya) dan RM70,000 (bapanya).-SM

Tiada ulasan: