HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Julai 2021

Tiga Ahli Parlimen negatif COVID-19

BH ONLINE

  Gambar hiasanGambar hiasan

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masing-masing negatif COVID-19.

Annuar dan Nik Mohamad Abduh masing-masing secara berasingan mengesahkan mereka negatif virus itu.

Annuar ketika dihubungi Bernama berkata : "Saya baik dan sihat," manakala Nik Mohamad Abduh juga dalam respons ringkas kepada Bernama berkata: "Alhamdulillah negatif,".

Pegawai Komunikasi Strategik kepada Mohd Rashid, Muhammad Afiq Mohd Hanif berkata, selain Ahli Parlimen Batu Pahat itu, semua pegawainya juga didapati negatif COVID-19 selepas menjalani saringan di Parlimen semalam.

Beliau berkata, Mohd Rashid juga bukan kontak rapat kepada mana-mana individu yang dilaporkan positif virus itu.

"Semua pegawai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah negatif selepas ujian (saringan) yang dijalankan di Parlimen dan Datuk Mohd Rashid juga negatif. Datuk (Mohd Rashid) ada buat ujian sendiri (di klinik swasta) tadi dan keputusannya juga negatif," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) belum menerima laporan penuh daripada ujian saringan yang dijalankan di Parlimen pada Khamis dan semalam di Dewan Rakyat.

Terdahulu media melaporkan hasil saringan itu, sekurang-kurangnya 35 individu termasuk beberapa Ahli Parlimen dikatakan positif COVID-19.

Saringan COVID-19 itu dilaksanakan sebagai langkah keselamatan dan pencegahan penularan wabak menjelang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula Isnin ini. – BERNAMA

Tiada ulasan: