HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Julai 2021

Ahli Parlimen UMNO diminta sokong pendirian parti batalkan darurat

Athirah Huda Zalhe

Pelaksanaan usul dan ketetapan atas permintaan Presiden UMNO

BANGI – Sempena sidang Parlimen Khas yang bermula esok, Ahli-Ahli Parlimen UMNO diminta menzahirkan pendirian parti itu untuk mengusulkan supaya Parlimen mesti membahas dan membatalkan Proklamasi Darurat serta ordinan-ordinannya.

Pelaksanaan ketetapan itu telah diminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ahli-Ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinannya.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, ketetapan berkenaan adalah berpandukan beberapa asas iaitu:

1. Penolakan rakyat yang UMNO wakili terhadap Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinannya yang ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat termasuklah kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat ‘dwi-standard’.

2. Pelaksanaan darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani pandemik COVID-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen.

3. Memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan.

4. Memahami implikasi Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat akan terus berjalan selama enam bulan sekiranya tidak dibatalkan sebagai mana Peruntukan 150(3), sekali gus bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan yang terbaru 7 Julai 2021.

5. Mendukung dan mentaati Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja pemerintah yang menitahkan tiada keperluan untuk darurat diteruskan dan segala Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

6. Memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, maka “Ahli-Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi GLC daripada UMNO akan meletakkan jawatan”.

Tiada ulasan: