HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Julai 2021

Yahya Jaafar akui salah, terus fokus bantu rakyat

Oleh KHAIRUL MOHD ALI
Gambar yang tular menunjukkan lori milik MBJB digunakan dengan memaparkan bendera BN dalam satu program sumbangan barangan keperluan di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Timbalan Ketua UMNO Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar akui kesilapannya kerana menggunakan aset milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan memaparkan bendera Barisan Nasional (BN) dalam program anjuran pihaknya.

Beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya memberitahu, pihaknya meminta bantuan MBJB untuk membawa barangan sumbangan kerana ia melibatkan jumlah yang besar.

“Untuk pengetahuan, barangan untuk edaran kepada yang memerlukan bagi kali ini sangat banyak dan ianya diluar kapasiti kenderaan saya dan pasukan.

“Jadi, saya meminta MBJB untuk bantu membawa barangan tersebut. Jika baju BN saya dan lori MBJB menjadi isu, saya minta maaf sangat.

“I know that’s ethically wrong, InshaAllah saya akan perbetulkan selepas ini,” katanya sebagai menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berhubung perkara itu.

Dalam masa sama, Yahya turut memberitahu, pihaknya berharap perkara itu tidak terus dipanjangkan kerana usaha membantu rakyat yang berdepan kesukaran ketika ini adalah lebih utama.

“Tetapi apa yang penting pada waktu ini, rakyat terima bantuan dengan kadar segera. Rakyat sedang penat dan kelaparan.

“Kita tak boleh lambat dalam menyalurkan bantuan. Harap perkara ini tidak berpanjangan kerana ia langsung tidak menguntungkan rakyat.

“Sama-sama kita berganding bahu untuk terus bantu rakyat #ParlimenJB supaya tiada yang tersisih,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut berkesempatan mengingatkan Akmal Nasrullah agar menggunakan peruntukan Ahli Parlimen sebanyak RM300,000 dengan sebaik-baiknya untuk keperluan rakyat.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: