HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Julai 2021

Walaupun difitnah, TPM bantu Lokman Adam terima rawatan di HAT


Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa memfitnah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, kini sedang dirawat di hospital selepas dinasihati Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Lokman yang mempunyai masalah kesihatan dan juga obesiti menjadi kontak rapat kepada seorang rakannya dikenali sebagai “Pablo” yang meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.

Badannya mulai lemah, mengalami kesukaran untuk berjalan, dan tiada selera makan sehingga hilang 10 kilogram berat badan namun enggan dirawat di hospital sehingga lah Ismail Sabri sendiri membantunya untuk dibawa ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

“Atas usaha rakan-rakan politik saya terutamanya Senator Datuk Seri Ali Timbalan Speaker Dewan Negara meminta bantuan Datuk Syed Mohd Fazmi (Setiausaha Politik) Menteri Pertahanan dan YAB TPM sendiri, Abang Long Mail (Ismail Sabri), barulah saya setuju untuk dimasukkan di hospital (HAT) ini semalam,” kata beliau.

Lokman enggan dirawat di hospital biasa kerana tidak percaya dengan khidmat doktor kerajaan.

Lokman sebelum ini membuat tuduhan terhadap Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO cuba meyakinkan Ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon Bersatu sekiranya tidak dipilih menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Susulan itu, Syed Mohd Fazmi membuat laporan polis terhadap Lokman.

“Setelah meneliti isi kandungan video itu saya dapati dengan jelas pemilik akaun Facebook tersebut membuat fitnah dan hasutan terhadap Ismail Sabri bermula minit ketiga sehingga akhir video,” katanya selepas membuat laporan polis pada 5 Julai.

Beliau berkata siasatan perlu dilakukan terhadap Lokman mengikut akta-akta berkaitan dengan fitnah iaitu Akta Hasutan 1948 , Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia1998 kerana membuat tuduhan terbuka.

Tiada ulasan: