Israr Khalid
Tegas
Dr Afif, yang perlu diutamakan adalah untuk menyelesaikan dahulu krisis
kesihatan, seterusnya krisis ekonomi, dan akhir sekali barulah
selesaikan krisis politik yang kita hadapi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Menukar kepimpinan kerajaan bukanlah jalan penyelesaian terhadap segala
masalah Malaysia pada ketika ini, kerana ia tidak dapat membawa
perubahan yang ketara.
Bagi ADUN Seberang
Jaya, Dr Afif Bahardin, ini kerana siapa pun ahli politik baik di pihak
kerajaan mahupun pembangkang ketika ini sudah tidak berapa diyakini
oleh rakyat. Maka tiada guna bertelagah siapa yang patut mentadbir
negara.
“Kalau
kita terus bertengkar soal nombor, soal siapa patut jadi Perdana
Menteri, siapa patut jadi kerajaan, maka saya takut nanti rakyat
mengambil tindakan sendiri.
“Kalau kita
lihat krisis-krisis yang dibangkitkan tentang soal nombor ini akhirnya
bukan untuk tujuan mengetengahkan permasalahan rakyat, tetapi akhirnya
soal untuk menolak seorang individu sahaja iaitu Perdana Menteri dan
meletakkan orang lain tetapi membuat jajaran baharu.
“Saya rasa ia tidak akan menyelesaikan masalah,” jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu.
Maka
apa yang perlu dilakukan ketika ini oleh para politikus terutamanya
Ahli Parlimen adalah mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap
mereka. Bagaimana? Dengan kembali semula ke peranan hakiki mereka untuk
memperjuangkan isu rakyat.
Dr Afif
melihat sesi mesyuarat khas Dewan Rakyat yang akan bermula minggu depan
sebagai medan terbaik untuk kerajaan memperjelaskan segala polisi yang
dilaksanakan sejak kali terakhir Dewan Rakyat bersidang hampir lapan
bulan lalu.
Pada masa sama, rakyat juga
akan memerhatikan bagaimana pembangkang bertindak sama ada menjadi
penyemak imbang atau menjadi pengacau kepada setiap polisi yang
dijalankan pihak pemerintah.
“Sebab itu
yang paling penting kita menjawab segala persoalan yang berbangkit
supaya rakyat benar-benar yakin dengan usaha kerajaan hari ini, dan
mereka akan turut sama dengan rela hati bertindak bersama untuk
menyelesaikan masalah yang kita hadapi hari ini.
“Objektifnya
adalah untuk mengikat dan menggerakkan seluruh kekuatan rakyat dan
negara sebagai satu bangsa Malaysia untuk melawan COVID-19 ini,”
katanya.
Justeru tegas Dr Afif, yang
perlu diutamakan adalah untuk menyelesaikan dahulu krisis kesihatan,
seterusnya krisis ekonomi, dan akhir sekali barulah selesaikan krisis
politik yang kita hadapi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan