HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Julai 2021

Esok hari mendebarkan negara

  Borhan Abu Samah

 

ESOK hari yang mendebarkan bagi seluruh negara apabila kira-kira 1,000 akan berkampung di Parlimen berikutan sidang khas yang akan berlangsung selama lima hari.

Parlimen bersidang ketika kes Covid-19 harian melebihi angka 15,000 dan sejumlah petugas Parlimen telah dikesan positif virus itu termasuk Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid adalah antara tiga ahli parlimen yang dikesan positif Covid-19 dan yang lain ialah Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Mat serta Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman.

Dewan rakyat yang mulia memang memberi kebebasan kepada para ahli parlimen untuk bersidang dan berhujah, tetapi ia tidak bebas daripada penularan wabak membunuh yang kini sudah menjadi sporadik bermakna boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa kita ketahui pembawanya kerana ia telah berada di dalam masyarakat.

Pada satu-satu masa di dalam dewan 80 ahli parlimen dibenarkan masuk, manakala selebihnya akan berada di sekitar kawasan parlimen dan langkah itu diambil bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan.

Jika dilihat jumlah parlimen hanyalah 222, tetapi apabila diambil kira jumlah pegawai termasuk pemandu dan petugas keselamatan serta petugas kebersihan jumlah mereka yang akan berkampung di Parlimen selama lima hari ia mencecah 1,000 orang.

Tidak cukup itu sahaja 1,000 orang ini akan pulang kepada keluarga mereka masing-masing dengan membawa risiko penularan baharu atau kluster baharu Covid-19.

Dari segi perjalanan parlimen ia mengikut agenda biasa iaitu Yang di-Pertuan Agung tidak perlu hadir kerana ia bukan perasmian pembukaan penggal dewan.

Ini adalah kerana parlimen telah bersidang sebelum ini iaitu sebulan sebelum diisytiharkan darurat tempoh hari dan persidangan parlimen seterusnya sepatutnya berlangsung pada September ini selepas ditolak tempoh darurat selama enam bulan.

Oleh itu esok lebih kepada persidangan khas, di mana Ordinan Darurat akan diletakkan di atas meja ahli-ahli parlimen untuk dibaca dan bukan untuk dibahaskan.

Selain itu dijangkakan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan menteri-menteri yang menguruskan vaksinasi serta pelaksanaan SOP Covid-19 akan membuat pembentangan dan ia terbuka kepada perbahasan.

Bagaimanapun difahamkan Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan usul tidak percaya kepada kerajaan, tetapi usul itu telah ditolak kerana notis yang dikemukakan tidak cukup 14 hari.

Ramai yang berfikir jika usul itu diluluskan dan berjaya mendapat sokongan majoriti ahli parlimen kerajaan akan jatuh. Bagaimanapun hakikatnya ia tidak akan berlaku sedemikian.

Apa yang berlaku hanyalah satu tamparan kepada kerajaan apabila pihak pembangkang berjaya dengan usul tidak percaya. Ini telah terbukti di beberapa buah negara walaupun telah diundi tidak percaya, tetapi kerajaan tetap berfungsi seperti biasa terutama ketika situasi Covid-19 sedang mengganas.

Sebarang tindakan yang menyebabkan kerajaan terbubar dan pilihan raya terpaksa dilaksanakan merupakan tindakan yang amat berbahaya.

Kita sendiri telah melihat bagaimana gelombang kedua penularan wabak tercetus apabila pilihan raya negeri Sabah diadakan tempoh hari, selepas kerajaan negeri terbubar.

Oleh itu apa yang harus dilakukan oleh ahli parlimen esok adalah memberi pandangan bagi memperbaiki usaha yang telah sedia berjalan bagi menangani wabak pandemik ini dan pada masa yang sama menyantuni kelangsungan hidup rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

Pelan Pemulihan Negara telah digaris dengan jelas oleh kerajaan bagi memastikan negara kita dapat keluar dari krisis pandemik ini secepatnya pada ahli tahun ini.

Ahli parlimen perlu berperanan bagi memastikan pelan itu berada di landasan yang betul dan akhirnya menjadi jalan keluar dari kemelut ini dan selepas itu baharulah difikirkan bagaimana pilihan raya diadakan bagi membentuk kerajaan yang mendapat mandat dari rakyat.

Tiada ulasan: