HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Oktober 2021

ADUN Telok Mas gugur keahlian BERSATU

Oleh Ilah Hafiz Aziz

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad yang menjadi antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali digugurkan keahlian BERSATU serta-merta.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata tindakan gugur keahlian Noor Effandi itu dibuat mengikut Fasal 10 Perlembagaan parti berkenaan.

"Ketetapan itu juga akan disahkan pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU akan datang," katanya dalam kenyataan selepas BERSATU bermesyuarat hari ini bagi membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

Sementara itu, Hamzah berkata, Biro Politik BERSATU berpendirian kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

"Biro Politik BERSATU berpendapat kemelut politik ini berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan," katanya.

Beliau berkata, Biro Politik BERSATU turut kecewa dengan tindakan empat ADUN Melaka yang menarik sokongan terhadap Sulaiman sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka ketika rakyat sedang berdepan pandemik COVID-19.

Kelmarin, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Selain Noor Effandi, dua ADUN lagi adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Tiada ulasan: