HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Oktober 2021

Ahmad Maslan enggan dedah strategi kerana UMNO sudah kuat

 

UMNO tidak akan mendedahkan strategi yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti kerana parti tersebut sudah kuat, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata jika UMNO mendedahkan strateginya, ia bukan lagi strategi memandangkan parti itu mempunyai kekuatan dan kelebihan yang jauh lebih ampuh untuk menewaskan musuh politik dalam PRN yang bakal diadakan kelak.

“Strategi tak boleh diumum.

“Jika diumum, bukan lagi strategi,” katanya dipetik laporan Malaysiakini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memaklumkan pihaknya telah menerima notis daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Berdasarkan Fasal (4) suatu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Kerajaan Melaka pimpinan UMNO jatuh selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Gerakan menjatuhkan kerajaan negeri tersebut diketuai ADUN UMNO (Sungai Udang), Datuk Seri Idris Haron yang juga merupakan bekas KM sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak menolak parti tersebut tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk menghadapi PRN Melaka dan akan bertanding secara solo.

Mohamad berkata UMNO tidak boleh mengharapkan bantuan luar dan perlu membina kekuatan sendiri dalam mengharungi PRN Melaka nanti, namun lebih penting untuk jentera parti mempersiapkan persediaan yang rapi dalam mendepani musuh politik mereka.

“Jangan kita harapkan bantuan luar untuk kita menang. Mesti bina kekuatan dalaman sendiri,” ujarnya.

Tiada ulasan: