HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Oktober 2021

UMNO Melaka cadang bubar DUN

MASJID TANAH: Kepemimpinan kerajaan Melaka yang diketuai UMNO, akan mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata cadangan itu akan dibuat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka.

Serentak itu, Ab Rauf berkata, UMNO Melaka sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika itu diputuskan Mohd Ali.Katanya, barisan kepemimpinan parti bersama-sama Barisan Nasional (BN) negeri komited mempertahankan kerajaan serta negeri itu.

"Saya diasuh dalam suasana politik sejak menjadi Setiausaha Kerja UMNO dan sentiasa bersedia bagi menghadapi 1,001 kemungkinan.

"Kalau Tuan Yang Terutama (TYT) Tun (Mohd Ali) mengisytiharkan pembubaran DUN, UMNO Melaka sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya pada sidang media di kediamannya di Kampung Pulau di sini, hari ini.

Cadangan pembubaran DUN dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, keahlian dua ADUN daripada UMNO gugur secara automatik selepas mereka secara terbuka bersama parti pembangkang menumbangkan kerajaan sedia ada.

"Apabila mereka menyatakan pada sidang media secara terbuka bersama dengan parti pembangkang yang tidak bersama membentuk kerajaan, hak sebagai ahli UMNO gugur secara automatik," katanya.

Ab Rauf turut menyifatkan empat ADUN yang beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH) seperti serpihan duri yang keluar daripada daging.

Katanya, ia terbukti apabila kepercayaan yang diberi kepada mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pada Mac tahun lalu dibalas dengan sesuatu yang mengejutkan.

"Sepanjang memberi kepercayaan kepada Sulaiman untuk menguruskan kerajaan negeri tahun lalu, saya tidak memilih sama ada mereka duri atau daging.

"Kalau mereka nak jadi duri, terserah tetapi hari ini terbukti mereka benar-benar sudah menjadi duri kepada daging yang dihidangkan kepada mereka," katanya

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dan persengketaan dengan empat ADUN berkenaan yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Beliau berkata, tiga daripada mereka yang juga Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan atau provokasi pada setiap mesyuarat.

"Hubungan saya dengan mereka baik. Apa yang diminta saya laksanakan sebaik mungkin.

"Apabila mengatakan kerajaan sekarang ini sebaliknya, maka tak tahu apa nak cakap. Selama ini dalam mesyuarat, apa yang diperlukan saya sentiasa bantu dan saya berikan kerjasama," katanya.

Mengulas dakwaan wujud campur tangan dalam setiap keputusan membabitkan pentadbiran kerajaan negeri, Sulaiman yang juga ADUN Lendu menafikan perkara berkenaan.

Katanya setiap isu berbangkit diputuskan dalam mesyuarat EXCO adalah keputusan semua ahli termasuk tiga daripada empat ADUN terbabit.

"Tidak, keputusan mesyuarat Exco keputusan bersama dan tidak ada campur tangan luar. No such thing.

"Sudah pasti dalam keadaan sekarang agak sukar kerana kita berusaha memulihkan kerajaan ini terutama ekonomi dan kesihatan. Mereka juga buat kerja yang sama tetapi akhirnya meruntuhkan semuanya dalam pada kita baru memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Tiada ulasan: