HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Oktober 2021

Apa status Muafakat Nasional, terus lebur?

 zuhayati

Percakaran antara parti politik hanya rugikan bangsa Melayu

BANGI – Muafakat Nasional (MN) sepatutnya diperkasakan lagi sekiranya UMNO dan PAS benar-benar membela agenda ummah termasuk mahu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jenama MN perlu dijadikan lokasi untuk menghimpunkan parti-parti Melayu dan Islam demi kesejahteraan rakyat terutama orang Melayu sendiri.

Malangnya, gagasan berkenaan yang kononnya diharapkan dapat membawa perubahan kepada kesatuan Melayu, terus tenggelam gara-gara krisis politik yang tidak berkesudahan.

Atas dasar itu, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM, Prof Datuk Dr Ismail Sualman berpandangan, permuafakatan politik adalah platform terbaik untuk berbincang secara baik dan melupakan kepentingan sendiri demi ummah.

“Kita yakin muafakat politik ini bukan sahaja untuk parti tetapi untuk masa depan negara dan seluruhnya.

“Dalam hal ini, sepatutnya ketiga-tiga parti perlu teruskan muafakat bukan setakat PRU sahaja.

“Segala percanggahan sepatutnya dibincang secara baik, jika tidak hanya melemahkan parti-parti Melayu ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Sualman yakin percakaran antara parti politik utama negara hanya merugikan bangsa sekali gus menjejaskan semua pihak.

Keadaan ini sekiranya tidak diselesai akan menyusahkan rakyat dan menyebabkan parti terpaksa bergabung untuk membentuk kerajaan selepas ini.

“Ketika itu keadaan semakin sukar, semua tidak kena dan menjadi mangsa adalah rakyat yang terpaksa menganggung perpecahan sesama sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: