HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Oktober 2021

”Saya tiada sengketa dengan mereka” – Sulaiman

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengesahkan tidak mempunyai sebarang persengketaan dengan empat wakil rakyat yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada mereka yang juga ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) juga tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan atau provokasi pada setiap sesi mesyuarat.

“Mengenai empat orang yang hilang kepercayaan pada saya itu, hubungan saya dengan mereka amat baik. Apa yang diminta, apa yang dipohon saya laksanakan sebaik mungkin.

“Apabila mengatakan kerajaan sekarang ini sebaliknya, maka tak tahu apa hendak cakap. Selama ini (dalam) mesyuarat, apa yang diperlukan saya sentiasa bantu dan saya berikan kerjasama,” katanya dalam sidang media di Melaka, lapor Astro Awani.

Ketika diminta mengulas dakwaan wujud campur tangan lain dalam setiap keputusan membabitkan pentadbiran kerajaan negeri, Sulaiman yang juga ADUN Lendu menafikan perkara berkenaan.

Katanya setiap isu berbangkit diputuskan dalam MMKN merupakan keputusan sebulat suara semua ahli majlis mesyuarat termasuk tiga wakil rakyat berkenaan yang juga Exco kerajaan negeri.

“Tidak, keputusan mesyuarat Exco keputusan bersama dan tidak ada campur tangan luar. No such thing.

“Sudah pasti dalam keadaan sekarang agak sukar kerana sepertimana semua tahu kita berusaha memulihkan kerajaan ini terutama ekonomi dan kesihatan. Mereka juga buat kerja yang sama tetapi akhirnya meruntuhkannya dalam pada kita baru memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Hari ini, empat ADUN iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) menamatkan teka-teki krisis politik Melaka selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kepimpinan Sulaiman.

Kesemua mereka juga telah menghantar surat menarik sokongan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Tiada ulasan: