
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengulangi desakan supaya Putrajaya menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 susulan pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang disifatkannya gagal menyentuh pelbagai isu.
Ahli DAP itu mahu kerajaan menjamin peluang pekerjaan bagi mengurangkan pengangguran dan menghidupkan semula ekonomi.
Kerajaan juga patut memperuntukkan RM50 bilion untuk membantu
perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membayar gaji pekerjanya, katanya
dalam satu sidang media.
Santiago berkata, RMK12 tidak mengambil kira kebanyakan masalah dihadapi rakyat Malaysia hari ini dan menambah 46% pencarum KWSP kini mempunyai simpanan kurang RM10,000 dalam akaun mereka.
Katanya, kualiti kehidupan di Malaysia merosot akibat pengangguran berdasarkan kajian UNICEF yang mendapati segelintir penduduk di kawasan perumahan kos rendah hanya makan sekali sehari.
Satu lagi isu katanya, melibatkan masalah merebut pekerjaan termasuk dalam kalangan mereka yang berusia 45 hingga 64 tahun atau 15 hingga 24 tahun.
Katanya, persaingan antara dua kumpulan ini bukan sahaja mengakibatkan ramai orang sukar mencari pekerjaan, malah turut menjejaskan kadar gaji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan