HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Oktober 2021

Tiada keperluan Umno, Bersatu saling berlawan

MALAYSIA POST
Tiada keperluan Umno, Bersatu saling berlawan

TIADA keperluan untuk saling berlawan antara sesama umat Islam dan satu bangsa ini, kata Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dusuki Abdul Rani mengenai pertembungan Umno dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Beliau sebaliknya berkata keperluan yang ada ialah kedua-dua parti saling berlapang dada antara satu sama lain, saling menghilangkan rasa tamak dan ego, saling memberi dan menerima kemenangan serta kekalahan. 

“Belum cukup lagikah PRU14 yang lalu memberi pengajaran kepada semua kita ini!? Belum cukup lagikah 22 bulan yang gelap di bawah Pakatan Harapan (PH) itu menjadi iktibar yang berguna kepada kita semua umat Islam di bumi Malaysia ini?  

“Atau kita perlu ‘tamparan’ dari Allah Covid-19 yang lebih dahsyat dari yang lalu? Atau apa sebenarnya yang menjadi ketamakan kepada semua ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini. 

Justeru, Ahmad Dusuki mengajak kedua-dua parti berdamai dan menerima hakikat saling memerlukan untuk menjadi umat yang kuat. 

“(Selain itu) menerima hakikat tiga gabungan (PAS, Umno, Bersatu) untuk satu undi… tiga gabungan untuk membangun kembali negara dan ummah di atas puing puing kehancuran dan kemusnahan yang dilakukan oleh kerajaan PH dahulu, cukuplah, cukuplah dan cukuplah,” katanya lagi. 

Semalam Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata parti itu Bersatu sedia melawan Umno pada PRU15 sekiranya Umno kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama.  

Muhyiddin berkata, mereka perlu menghadapi ‘realiti politik’ itu sekiranya Umno enggan berganjak dalam pendiriannya.  

Kelmarin, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keputusan enggan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 adalah muktamad. 

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat sehari selepas Perikatan Nasional (PN) berkata parti berkenaan membincangkan pengagihan kerusi tanpa pembabitan Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost

Tiada ulasan: