KOTA KINABALU: UMNO Sabah akan meneruskan strategi meletak ramai calon muka baharu dan muda bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang.
Strategi meletakkan kira-kira 80 peratus calon muka baharu dan muda semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 lalu ternyata berkesan dan membolehkan UMNO terus kekal relevan dalam kalangan pengundi.
Ketua Pemuda UMNO, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, menjelang PRU-15, terdapat 5.6 juta pengundi terdiri daripada anak muda yang kebanyakannya tidak menyokong mana-mana parti atau non-partisan.
“Jika dilihat 1.2juta pengundi berusia 18 hingga 21 tahun akan didaftarkan secara automatik apabila Undi18 dilaksanakan. Golongan non-partisan ini tidak mengundi berdasarkan parti sebaliknya, mereka memilih calon.
“Maka, langkah meletakkan calon muka baharu dan muda itu amat penting kerana golongan anak muda ini melihat kepada calon itu sendiri serta kelantangan calon membawa isu-isu yang dekat di hati rakyat. Kemudian baru mereka akan melihat parti yang diwakili oleh calon berkenaan.
“Ini antara tiga faktor penting yang akan menyumbang kepada kemenangan seseorang calon pada PRU-15,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Malah katanya, UMNO Sabah juga sudah belajar daripada kelemahan dan kesilapan pada PRU-14 yang menyaksikan calon-calon veteran tumpas kepada calon muka baharu dan orang muda.
Abdul Aziz berkata, berdasarkan pengalaman semasa PRU-14 trend pemilihan pengundi sudah berubah iaitu mereka tidak lagi melihat kepada kekuatan parti sebaliknya, melihat kepada calon.
Justeru itu katanya, tanggungjawab besar terletak pada bahu pemimpin-pemimpin utama parti untuk mencari titik kesimbangan bagi meletakkan calon muda dan veteran agar parti mereka boleh mengekalkan kemenangan pada PRU-15.
Biarpun ada keperluan meletak ramai calon muda namun, calon veteran masih perlu dikekalkan agar keseimbangan dalam parti masih dapat dikekalkan.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan