MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen menjadi wakil rakyat pertama menafikan secara terbuka penglibatannya dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri ketika ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka itu berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk menyokong Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
Katanya, kemelut politik yang dicetuskan perlu dihentikan dengan segera demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini.
“Saya ada terbaca berita-berita di media arus perdana dan media sosial tentang desas-desus pergolakan politik yang berlaku di Melaka ketika ini.
“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak terlibat dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan Melaka ketika ini. Saya tetap dengan pendirian untuk menyokong Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri sehingga PRU-15 nanti.
“Saya berpendapat, segala fokus ketika ini harus tertumpu kepada usaha pemulihan negara dan negeri terutama bagi pemulihan kesihatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Ogos lalu, Mohd. Rafiq pernah dikaitkan dengan spekulasi rancangan menjatuhkan kerajaan negeri, selepas melakukan perjumpaan dengan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Azman Hassan.
Idris bagaimanapun menafikan berbincang rancangan menjatuhkan kerajaan negeri, tetapi mengingatkan bahawa beliau boleh memainkan peranan sebagai kingmaker.
Hari ini, Utusan Online melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ahli ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan