HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

DAP minta tambah kerusi dalam PRN Melaka, mahu jadi dominan

Yakin mampu menjadi dominan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, DAP meminta supaya tambahan kerusi diberikan kepada calon mereka untuk masuk bertanding.

Permintaan tersebut menunjukkan hasrat DAP yang mahu menjadi dominan dalam kerajaan negeri sekiranya berjaya memenangi PRN pada 20 November nanti.

Sekurang-kurangnya dua kerusi tambahan diminta DAP Melaka alasan untuk menambah bilangan wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) serta boleh melantik calon Ketua Menteri dikalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka.

Permintaan tambahan kerusi itu disahkan, Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew yang berkata jumlah itu memadai untuk memastikan calon yang diketengahkan akan dapat membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri jika berjaya memenangi PRN kelak.

“Setakat ini perbincangan dalam kalangan parti komponen PH sudah mencapai 80 peratus dan dijangka keputusan mengenainya akan dimuktamadkan minggu depan.

“Semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kita bertanding lapan kerusi dan semuanya menang, kali ini saya harap dapat tambah satu atau dua kerusi lagi untuk membolehkan DAP membantu PH membentuk kerajaan.

“Hasrat kita hendak berbakti kepada rakyat selain memantapkan lagi gabungan PH. Sebab itu kalau boleh nak tambah kerusi lagi,” katanya dipetik laporan portal BH.

Pada PRU-14, DAP bertanding dan menang kerusi DUN Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban.

Terdapat 28 keseluruhan kerusi DUN yang akan dipertandingkan pada PRN kali ini.

Tiada ulasan: