HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Oktober 2021

Cabar di mahkamah, tapi PH bertanding atau tidak? soal Sulaiman

Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini secara sinis mempersoalkan Pakatan Harapan (PH) sama ada turut serta bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau tidak.

Ini kerana, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari semalam telah mengemukakan permohonan kebenaran semakan kehakiman mencabar keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Kata hendak cabar di mahkamah, (tetapi mereka) bertanding (PRN) atau tidak? Parti lawan (PH) bertanding? Sudah cabar di mahkamah, lepas itu akan bertanding? Tidak tahulah,” katanya lapor Berita Harian. 

Semalam Adly memohon perintah untuk membatalkan writ dan notis pilihan raya yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Oktober lalu bagi mengadakan PRN Melaka pada 20 November depan dan turut memohon perintah supaya notis mengadakan PRN digantung sementara permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar dan diputuskan mahkamah.

Sehubungan itu, Sulaiman yang juga merupakan Ketua Menteri Melaka menegaskan sesiapa saja berhak memfailkan kes di mahkamah, termasuk berhubung isu keabsahan kerajaan sementara bawah kepemimpinannya.

“Itu hak dia (membawa kes ke mahkamah). DUN bubar pun dia (PH) tidak mahu, apapun (perkara) mereka tidak akan pernah bersetuju. Jadi, saya tidak ada komen kerana perkara itu sudah difailkan.

“Teruskan sahajalah dan tunggu (keputusan) mahkamah. PRN juga sudah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kalau kata mereka (tetap) mahu mencabar di mahkamah, cabarlah… itu hak dia,” katanya lagi.

Tiada ulasan: