Shuhada Abdul Kadir

Muhammad
Jailani tidak menafikan sememangnya wujud gerakan untuk menumbangkan
kerajaan sedia ada tetapi ia tidak pernah membuahkan hasil kerana tiada
matlamat yang jelas. - Gambar fail
MELAKA:
Pergolakan politik yang berlaku di Melaka selepas wujud dakwaan
kerajaan negeri akan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH) hanya
akan merencatkan proses pemulihan sektor pelancongan.
Exco
Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani
Khamis berkata, senario itu bukan hanya merugikan kerajaan negeri dan
rakyat secara am, malah turut menimbulkan keraguan kepada pelabur.
“Kita
hendak pulihkan ekonomi rakyat yang mana keutamaan kita adalah menjaga
kebajikan dan kesihatan mereka, selain kepentingan keupayaan rakyat
untuk menjana semula ekonomi.
“Jadi
apabila berlaku cubaan yang lebih kepada kepentingan peribadi individu
tertentu ini bukan sahaja merugikan rakyat dan negeri, malah menimbulkan
keraguan kepada pelabur dan sebagainya.
"Tetapi
apa yang hendak saya nyatakan, percaya dan yakinlah, kerajaan Melaka
stabil,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia.
Muhammad Jailani pada masa sama tidak menafikan sememangnya wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.
Namun,
kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah ini, ia bukan sesuatu
yang baharu dan cubaan itu tidak pernah membuahkan hasil kerana tiada
matlamat yang jelas.
“Kita mempunyai
bukti-bukti tertentu ada percubaan untuk merosakkan keharmonian kerajaan
negeri, tetapi percubaan macam ini bukan suatu isu yang baharu, malah
daripada terbentuknya gabungan wakil rakyat negeri Melaka ini, sejak Mac
tahun lalu lagi.
“Mereka cuma boleh
mencuba tetapi saya nampak cubaan itu tidak berasas. Ia lebih kepada
kepentingan individu tertentu, tiada matlamat yang jelas kerana kerajan
sedia ada menjalankan tugas dengan baik. Jadi tidak ada alasan untuk
mengubah sebuah kerajaan yang bagus,” tegasnya.
Kemelut
politik Melaka mula hangat selepas wujud dakwaan sekurang-kurangnya
empat ADUN kerajaan akan ‘melompat’ menyertai PH dan sudah
menandatangani akuan bersumpah (SD).
Bagaimanapun,
ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee antara nama yang
disebut-sebut, menafikan perkara berkenaan dan menyatakan pendirian
kekal bersama kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Manakala tiga lagi ADUN yang disebut-sebut bakal ‘melompat’ dan berpaling tadah itu belum membuat apa-apa kenyataan.
Untuk
rekod, kerajaan negeri Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas
Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada
Pakatan Harapan yang tumbang Mac tahun lalu.
Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi DUN manakala pembangkang, 11.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan