HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

Formula Tuan Ibrahim boleh sebabkan PH 'tutup buku'

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR: Formula Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka iaitu 'kerusi penyandang kekal pada penyandang' boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) `tutup buku' di negeri itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata melalui formula rundingan kerjasama itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, dengan dokongan undi PAS dan BERSATU, 14 kerusi berkenaan sangat selamat untuk dimenangi UMNO.

Katanya, begitu juga BERSATU yang kekal bertanding di dua kerusi yang disandang dan dengan dokongan undi UMNO dan PAS, kemenangan parti itu sudah boleh dijangka.

"Baki lagi 12 kerusi perlu diagihkan di antara tiga parti. Dengan dokongan tiga parti utama, lima kerusi sangat selamat untuk dimenangi bersama atas nama muafakat.

"Dengan itu Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN Melaka. PH boleh tutup buku," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Khamis lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan BERSATU dalam mana-mana pilihan raya kerana perkara itu sudah diputuskan oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO.

Sehari selepas itu, Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PN akan bertanding di semua 28 kerusi DUN Melaka, berkata rundingan, termasuk dengan PAS dan GERAKAN akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu.

Kerjasama UMNO dan PAS yang bersama dalam MN juga masih menjadi tanda tanya dan semalam, Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek mengesahkan pihaknya masih menanti jemputan rasmi UMNO untuk berbincang.

Sementara itu, Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi percaya UMNO, PAS dan BERSATU tidak sukar untuk berunding jika kemenangan umat Islam dan menghalang kemenangan PH, dijadikan matlamat utama.

"Saya mengajak semua pihak berunding. Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan setelah kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita.

"Perpaduan adalah penyelamat, perpecahan adalah azab dan sengsara," katanya.

Tiada ulasan: