HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Oktober 2021

'Saya tak buat kacau'

MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menafikan menimbulkan ketegangan pada mesyuarat UMNO Cawangan Klebang Kechil, di sini pagi tadi.

Sebaliknya, beliau mendakwa, hadir di halaman kediaman seorang pemimpin UMNO cawangan itu kerana halaman itu sangat hampir dengan halaman kediamannya yang disifatkannya sebagai 'berkongsi halaman.'

"Kami berkongsi halaman rumah dan semasa saya berborak dengan ibu saya, mereka (ahli UMNO cawangan) yang berkumpul untuk mesyuarat UMNO cawangan buat bising.

"Saya pergi ke halaman rumah itu dan meminta mereka senyap sedikit kerana terlalu bising sedangkan saya sedang berborak dengan ibu saya tetapi mereka degil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Idris mendakwa, ketika kejadian jam 10.15 pagi itu, mesyuarat berkenaan belum bermula dan beliau mengambil sedikit masa untuk memberikan penjelasan kepada ahli UMNO mengenai situasi politik semasa di negeri ini.

Katanya, beliau meminta ahli UMNO cawangan itu membawa usul tiga pemimpin UMNO disingkirkan kerana didakwa menyebabkan banyak kerosakan kepada parti, Melaka dan Malaysia secara keseluruhannya.

"Saya minta mereka membawa usul itu kerana ketiga-tiga mereka sudah membuat kerosakan kepada UMNO, negeri ini dan negara kita.

"Selepas meminta mereka membawa usul itu, saya pun balik, tak ada pun saya buat kacau-bilau," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilaporkan mendakwa kehadirannya pada mesyuarat itu menimbulkan ketegangan, supaya tidak membuat tuduhan tanpa usul periksa.

"Ahmad Maslan kalau nak tahu cerita sebenar, minta dia telefon saya...saya boleh ceritakan dari pangkal sampai hujung," katanya.

Mengulas kenyataan Mohamad Ali yang mendakwa tindakannya itu seolah-olah 'gila talak' Idris berkata, Ketua UMNO terbabit sudah kehabisan modal untuk bercakap.

"Apa yang dia maksudkan gila talak? Dia jangan takut, saya tak buat kacau," katanya.

Ahmad dan Mohamad Ali dilaporkan kesal dengan tindakan Idris muncul dalam mesyuarat berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak sepatutnya dilakukan kerana Idris bukan lagi ahli UMNO.

Keahlian Idris dalam UMNO terlucut secara automatik selepas menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

Selain Idris, turut terlucut keahlian UMNO ialah bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan kerana bertindak sama seperti Idris bersama-sama dua lagi bekas ADUN.

Dalam pemilihan UMNO Bahagian Tangga Batu pada 2018, Idris tewas kepada Mohamad Ali manakala Nor Azman yang bertanding Timbalan Ketua UMNO bahagian, kalah kepada Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Tiada ulasan: