HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Oktober 2021

Kerana nak menang PRN, DAP marah larangan berhimpun KKM


Parti cauvinis DAP dilihat marah dengan keputusan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) yang melarang semua perjumpaan dan majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mulai esok hingga 27 November depan.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti itu mengarahkan peguam mereka mengkaji sama ada larangan dan sekatan bagi calon menemui pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan pilihan raya.

“Pemimpin DAP dan PH akan bermesyuarat untuk membincangkan sekatan yang tidak adil dan tidak demokratik ini yang bertujuan untuk melumpuhkan pembangkang dan memberi kelebihan awal kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan media hari ini berkata parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang bentuk perhimpunan sepanjang PRN Melaka berkuat kuasa esok sehingga 27 November depan.

Keputusan larangan itu diambil bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 dan peningkatan kes mendadak.

Larangan ini berdasarkan peruntukan di bawah Subperaturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293/2021) yang dibuat mengikut Subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Melaka hari ini menjadi antara sembilan negeri yang merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19, apabila mencatat 262 kes baharu, berbanding 223 semalam. Sehingga semalam negeri itu merekodkan 63,401 kes positif dan 890 kematian akibat Covid-19. KKM juga melaporkan sebanyak 3,166 kes masih aktif di Melaka.

Bagaimanapun, DAP tidak berpuas hati dan menuduh parti pemerintah takut menghadapi pengundi setelah menyebabkan Kerajaan Melaka tumbang selain gagal dalam pentadbiran seperti menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

Guan Eng berkata Khairy sepatutnya tidak membenarkan pilihan raya diadakan sekiranya bimbang risiko jangkitan Covid-19.

Beliau juga menyifatkan larangan berkenaan sebagai taktik tidak beretika digunakan untuk memberi tekanan kepada pembangkang, sebaliknya menguntungkan parti kerajaan.

Beliau juga menuduh Khairy mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mempersendakan demokrasi dan keseluruhan proses pilihan raya.

“Lebih baik Khairy sahaja menjalankan keseluruhan proses pilihan raya dan bukannya SPR. Larangan Khairy mengingatkan kita tentang Malaysia di bawah “total lockdown. Sekarang apabila Malaysia dibuka semula tanpa sebarang “lockdown”, mengapa ada “total lockdown” yang dikenakan dalam kempen pilihan raya?

“Jelas ini adalah gambaran yang bercanggah tentang sebuah negara, dua sistem berbeza. Mengapa membenarkan pilihan raya diadakan terlebih dahulu?,” katanya.

PRN Melaka akan diadakan pada 20 November depan, dengan penamaan calon ditetapkan pada 8 November manakala pengundian awal pada 16 November.

Ia diadakan setelah Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendapat nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadapnya.

Tiada ulasan: