HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Oktober 2021

Krisis Melaka patut selesai secara dalaman, kata Najib


Datuk Seri Najib Razak hari ini meluahkan rasa kecewanya berhubung krisis di Melaka yang dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari partinya sendiri.

Dalam tulisan di Facebook, Najib berkata, kemelut yang melanda negeri itu sepatutnya boleh dielakkan dan diselesai secara dalaman.

Namun, katanya, perkara itu kini sudah terlambat memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah pun bubar selepas empat ADUN yang diketuai, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Situasi ini boleh dielak dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat,” kata Najib.

Selain itu, Najib juga berpendapat bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajar ditangguh terlebih dahulu seperti yang berlaku pada PRN Sarawak.

“Dengan mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP, berganti PKP separuh masak yang begitu lama, pendapat saya ialah PRN Melaka patut ditangguh sebagaimana PRN Sarawak ditangguh setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengesahkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka berhubung pembubaran DUN Melaka penggal Ke-14 semalam sebagai mana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Tiada ulasan: