HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Oktober 2021

UMNO tak harap bantuan luar hadapi PRN Melaka: Mohamad


Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menolak parti tersebut tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan akan bertanding secara solo.

Mohamad berkata UMNO tidak boleh mengharapkan bantuan luar dan perlu membina kekuatan sendiri dalam mengharungi PRN Melaka nanti, namun lebih penting untuk jentera parti mempersiapkan persediaan yang rapi dalam mendepani musuh politik mereka.

“Jangan kita harapkan bantuan luar untuk kita menang. Mesti bina kekuatan dalaman sendiri,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan jentera UMNO Melaka semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ditanya mengenai kesediaan Perikatan Nasional (PN) Melaka untuk berunding dengan UMNO bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada PRN tersebut, Mohamad berkata ia terpulang kepada UMNO Melaka namun perkara tersebut perlu mendapat restu di peringkat pusat terlebih dahulu.

“Itu terpulang kepada UMNO Melaka dan (UMNO) Melaka akan cadang kepada (UMNO) Pusat sebab (UMNO) Melaka tak boleh buat keputusan sendiri.

“Mesti dapat kelulusan, mesti dapat sanction daripada (UMNO) Pusat. Kalau (UMNO) Pusat kata ‘okay’ maka bolehlah (untuk bekerjasama dengan PN Melaka),” katanya.

Beliau berkata jentera parti di peringkat pusat daerah mengundi (PDM) telah diarah untuk mengadakan gerak kerja mulai esok bagi menghadapi PRN Melaka.

Dalam pada itu, Mohamad berkata keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundur Datuk Noor Azman Hassan terlucut dengan sendirinya selepas berada sepentas bersama pembangkang.

Beliau berkata perkara itu termaktub dalam pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.

Sementara itu, Ahmad berkata surat pemakluman mengenai pengguguran keahlian akan diserahkan kepada Idris dan Noor Azman dalam masa terdekat.

Ab Rauf yang juga Speaker DUN Melaka hari ini mengumumkan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam bersetuju untuk membubar Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN) Melaka pada 4 Okt.

Tiada ulasan: