HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Oktober 2021

MIC adakan pemilihan Oktober, November

 Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN

S.A. VIGNESWARAN

KUALA LUMPUR: MIC akan mengadakan pemilihan parti  itu pada Oktober dan November ini selaras dengan keadaan negara yang sudah mula keluar daripada wabak Covid-19. 

Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, pemilihan parti bagi peringkat bahagian dan sayap iaitu pemuda, wanita, puteri dan putera diadakan pada Oktober.

Beliau berkata, pemilihan bagi peringkat negeri dan majlis tertinggi bagi naib presiden pula diadakan pada November ini. 

“Penamaan calon bagi sayap adalah pada 10 Oktober manakala pemilihan mesyuarat perwakilan pada 17 Oktober. 

“Penamaan calon untuk peringkat bahagian adalah pada 17 Oktober dan pemilihan pada 24 Oktober. 

“Penamaan calon pemilihan peringkat negeri, majlis tertinggi bagi pemilihan naib presiden adalah pada 20 November manakala pemilihan pada 27 November,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Menara Manickavasagam, Kuala Lumpur.

Menurut Vigneswaran, pemilihan itu juga diadakan berikutan langkah-langkah yang diambil oleh negara dalam menghadapi wabak ini apabila semakin menunjukkan perkembangan baik. 

Kata beliau, pihaknya juga berharap muka-muka baharu akan ditampilkan dalam pemilihan parti itu nanti. 

“Saya harap banyak muka baharu akan turut serta dalam pemilihan parti (sama ada) di peringkat sayap, bahagian dan tertinggi untuk mencorak arus politik MIC,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai janji Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Persatuan Makkal Sakti Malaysia (MMSP), beliau berkata,  pihaknya tidak mempunyai masalah berkenaan perkara itu dan ia juga boleh dibincang pada musim pilihan raya nanti. 

“Pada ketika ini, tiada pertembungan antara komponen BN dengan kerusi yang ditandingi  MIC, maka atas dasar tersebut kami tidak ada isu dengan tawaran kerusi kepada MMSP,” katanya.

Tambah beliau, parti itu juga tidak mempunyai halangan untuk Barisan Nasional  (BN) memberi kerusi kepada mana-mana parti komponen.

“Tetapi, kami akan memberi pandangan kami berhubung apa yang penting kepada MIC. Tidak benar MIC marah atau iri hati kerana pihak lain diberi kerusi, malah, kami tidak memikir isu-isu tersebut.

“Apa yang Ahmad Zahid kata adalah kami (UMNO) akan memberi peluang kepada MMSP untuk bertanding dan membawa isu itu di peringkat BN. Sehingga kini perkara itu masih tidak dibincang, jadi, tidak baik bagi saya untuk memberi komen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: