DATUK Norhizam Hassan Baktee tidak akan diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Neger (PRN) Melaka bulan depan.
Kedudukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu itu dinyatakan Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, dalam isu empat bekas ADUN, PH telah menerima pandangan semua pihak yang tegas tentang perkara ini.
“Perlu ditekankan kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada mana-mana individu.
“Oleh kerana mereka bukan ahli mana-mana parti komponen PH, maka soal pencalonan mereka dalam PRN tidak berbangkit di dalam mesyuarat hari ini.
“Walau bagaimanapun, Majlis Presiden turut memutuskan bahawa Datuk Norhizam Hassan Baktee tidak akan dijadikan calon PH dalam PRN Melaka,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Norhizam bersama tiga lagi ADUN mengumumkan tidak lagi menyokong kerajaan diketuai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun usaha mereka bersama ADUN PH untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu gagal apabila DUN Melaka telah dibubarkan.
Sementara itu, Majlis Presiden PH turut memaklumkan pelantikan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari bagi mengetuai jentera pilihan raya PH Melaka bagi menghadapi PRN Melaka.
“Majlis Presiden PH hari ini memutuskan menghantar wakil untuk bertemu serta berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya berhubung prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Ini bagi menyampaikan pandangan Pakatan Harapan serta memastikan prinsip demokrasi dijunjung, hak parti-parti politik bertemu pengundi tidak terjejas, dan perjalanan pilihan raya adalah adil kepada semua pihak terutama pada ketika Melaka berada di dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara,” kata kenyataan bersama empat pemimpin tertinggi parti PH.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan